Saturday, September 7, 2013

Kena menari ketika temu duga kerja


London: Syarikat pemborong barangan elektronik Britain, Currys Megastore memohon maaf kepada pencari kerja yang datang untuk temu duga semalam, selepas mereka diarahkan menari oleh pegawai syarikat yang menjalankan proses itu.

Langgar prosedur
Syarikat cawangan firma perniagaan runcit, Dixon Retail itu, dalam satu kenyataan berkata, arahan menari yang dikenakan terhadap pencari kerja bagi jawatan pembantu jualan itu tidak mematuhi prosedur temu duga dan pihaknya kesal dengan kejadian itu.

“Kejadian itu tidak harus berlaku dan kami sedang menyiasat. Kami benar-benar kesal dengan apa yang berlaku. Kami memohon maaf atas kejadian itu,” kata kenyataan itu.

Syarikat itu juga meminta mereka yang terbabit dengan insiden itu supaya datang semula pada hari lain untuk sesi temu duga yang baru.

Kumpulan pencari kerja di syarikat Currys Megastore di Cardiff, diarah melakukan rutin tarian ketika latihan kerja berkumpulan yang sebenarnya tidak mematuhi prosedur rasmi.

Seorang pemuda yang datang untuk temu duga, Alan Bacon, 21, berkata beliau yang sedang mencari kerja di Britain tidak menyangka akan disuruh menari bersama pemohon lain.
Sangka gurauan

“Saya rasa semua pemohon kerja terbabit pada mulanya menganggap ia hanya gurauan, tetapi kemudian menyedari bahawa pegawai syarikat itu serius.

“Saya akhirnya menari mengikut rentak lagu Around the World dan melakukan beberapa aksi robot di depan mereka. Seorang lelaki pertengahan umur yang diberi arahan sama, kelihatan benar-benar tidak selesa dan marah apabila disuruh menari tarian rap,” katanya kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Bacon bagaimanapun, tidak mendapat pekerjaan itu tetapi tidak kecewa. - AGENSI

No comments:

Post a Comment