Saturday, September 7, 2013

Nurul Izzah: PDRM jangan ulangi sikap kuku besi...!!!



SHAH ALAM - "Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus bersikap terbuka dan jangan ulangi langkah kuku besi," demikian reaksi Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkenaan kes penahanan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

Menurut Nurul Izzah, PDRM perlu menyatakan perubahan dalam prosedur supaya penjenayah berat yang sepatutnya didahulukan siasatan dan diberi lebih tumpuan berbanding kes Sasterawan Negara itu.

“Bagi saya PDRM harus terbuka dalam hal ini (penahanan Samad).

“Sepatutnya penjenayah berat yang didahulukan siasatannya,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online hari ini.

Dalam nada sama, Nurul Izzah turut menegaskan PDRM harus bersikap adil dalam menangani sesuatu kes tanpa mengira kepentingan pihak tertentu demi menjaga nama baik PDRM dan golongan-golongan tertentu.

“Jangan dizalimi mana-mana suspek sekalipun, semua orang sepatutnya diadili dengan betul.

“Jangan hanya semata-mata untuk menjaga nama baik dan kredibiliti PDRM, sehingga berlaku kezaliman terhadap seseorang yang tidak bersalah,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, senada dengan Nurul Izzah, mahu PDRM memberi tumpuan membanteras jenayah yang menggangu gugat keselamatan rakyat terlebih dahulu, berbanding memburu Samad.


“PDRM patut beri tumpuan membanteras jenayah demi rakyat.

“Pasal kes A Samad Said, saya rasa beliau sepatutnya diperlakukan dengan lebih baik dan berhemah, lagipun beliau telah banyak berjasa kepada negara,” katanya.

Manakala menurut Ahli Parlimen Lenggong (BN), Shamsul Anuar Nasarah, beliau bersetuju dengan tindakan PDRM menahan Samad, kerana baginya Sasterawan Negara itu telah melanggar undang-undang negara dan sebagai rakyat Malaysia, beliau tidak terlepas daripada tindakan undang-undang negara.

“Saya tidak bersetuju jika KDN dan PDRM memohon maaf kepada A Samad Said kerana menahan beliau ekoran insiden mengibar bendera alternatif Sang Saka Malaya pada malam sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-56 Jumaat lalu.

“Untuk apa permohonan maaf dilakukan, apa istimewanya beliau berbanding orang lain? Kerana bagi saya semua rakyat dalam negara tidak boleh melanggar undang-undang atau mengatasi undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu, Shamsul berharap PDRM tidak melayani desakan pihak tertentu (yang mahu polis meminta maaf kepada Samad) kerana baginya penahanan tersebut dibuat mengikut prosedur.

“Pada saya penahanan itu telah dibuat mengikut prosedur dan polis juga telah ke rumah Samad pada petang Selasa tetapi beliau tidak berada di kediamannya. Samad juga diminta datang sendiri ke ibu pejabat untuk siasatan, tetapi dia sendiri tidak mematuhinya.

"Saya yakin penahanan dilakukan juga sebagaimana iannya dilakukan oleh pihak polis kepada orang lain. Sebab itu pada saya kalau beliau berani melakukan kesalahan yang memalukan dan mencemarkan lambang negara kita, mereka memang layak menerima hukuman kerana melakukan tindakan yang menghasut rakyat. Sebab itu, kenapa pula ada pihak yang menyalahkan polis dan KDN?” tegasnya.

No comments:

Post a Comment