Saturday, September 7, 2013

Penduduk luar bandar Selangor akan dapat nafas baru, kata Saifuddin...!!!



Penduduk kawasan luar bandar di Selangor akan mendapat nafas baru ekoran tindakan kerajaan negeri memberikan tumpuan khas dalam membangunkan mereka.

Tumpuan utama adalah untuk mendekatkan jurang antara mereka dengan penduduk bandar dan pinggir bandar di negeri yang paling maju di negara ini sekarang.

"Selepas dua bulan menjadi tugas saya untuk mempastikan usaha ini mula dilihat dan dirasai oleh rakyat negeri ini," kata Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar), orang yang ditugaskan khas untuk menjayakan tugas ini oleh kerajaan negeri Selangor.

Saifuddin, Setiausaha Agung PKR, dilantik menjadi Ketua Staff Pejabat Menteri Besar Selangor Julai lalu.

Tugas khas yang diamanahkan kepada beliau oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah melaksanakan pembangunan luar bandar.

Dalam pilihan raya umum 2013 lalu, Pakatan Rakyat (PR) kalah di lima kerusi Parlimen di Selangor yang kesemuanya adalah kerusi luar bandar dan tidak dicapai oleh internet secara meluas.

Kawasan itu adalah Tanjung Karang, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar.

Kesemua kerusi ini terletak di utara Selangor yang juga dikenali sebagai Anjung Utara Selangor.


"Buat permulaan, saya akan menumpukan dua kawasan iaitu Hulu Selangor dan Sabak Bernam," kata Saifuddin ketika ditemui The Malaysian Insider di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau akan menemui semua ketua-ketua masyarakat di kedua-dua kawasan itu tidak lama lagi bagi membincangkan hal ini.

Dengan imput dari mereka, beliau yakin akan dapat membuat satu pendekatan baru untuk memastikan penduduk luar bandar terbela.

Pelantikan Saifuddin untuk mengendalikan pembangunan luar bandar tidaklah berjalan begitu mudah bagi Saifuddin.

Ini kerana, Exco yang bertanggungjawab kepada portfolio itu adalah dari PAS iaitu Salehin Mukhyi yang turut memegang portfolio agama untuk kerajaan negeri Selangor.

Saifuddin akan duduk dalam Jawatankuasa Induk pembangunan luar bandar yang turut disertai oleh Khalid dan Salehin di samping Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen).

Saifuddin akan menjadi pelaksana kepada dasar-dasar yang akan ditetapkan oleh jawatankuasa induk ini. Upen pula akan menjadi sekretariat kepada projek ini.

"Saya akan pastikan exco pembangunan luar bandar tidak terketepi dalam pelaksanaan projek ini. Dia adalah bos saya dalam melaksanakan tugas ini selain MB," kata Saifuddin yang pernah bekerja dengan kerajaan negeri Kelantan di bawah PAS sebelum ini.

Saifuddin adalah Pengurus Tabung Tok Kenali yang mengendalikan projek bantuan untuk warga emas sebelum dilantik sebagai Pengarah Strategi PKR oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pilihan raya 2008 lalu.

Dengan bantuan projek yang dikendalikan Saifudin, PAS menang besar di Kelantan dalam pilihan raya 2008 setelah hanya majoriti satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sebelum itu.

No comments:

Post a Comment