Monday, October 7, 2013

AS buntu

AS buntuSEHINGGA kini, kerajaan Amerika Syarikat (AS) masih lumpuh selepas Kongres (Dewan Rakyat) gagal meluluskan Bajet Khas Persekutuan berikutan perbalahan berhubung rang undang-undang Penjagaan Kesihatan Obama (Obamacare).

Kegagalan fungsi kerajaan itu pertama kali berlaku dalam tempoh 17 tahun.

Rumah Putih dipimpin Parti Demokrat dan parti pembangkang, Parti Republikan masih gagal mencari penyelesaian untuk membolehkan Bajet Khas Persekutuan diluluskan susulan rang undang-undang penjagaan kesihatan berkenaan.

Presiden Barack Obama menuduh parti konservatif yang mendominasi Dewan Perwakilan melancarkan ‘perang ideologi’ dengan menjadikan bajet khas itu sebagai tebusan untuk membatalkan rang undang-undang penjagaan kesihatan.

“Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Saya mahu semua rakyat AS faham kenapa ia berlaku. Parti Republikan menyebabkan kerajaan lumpuh hanya kerana mahu menafikan penjagaan kesihatan sepatutnya dinikmati berjuta rakyat AS,” katanya.

Pada masa sama, Speaker Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan, John Boehner berkata, Obama melaksanakan polisi ‘kemusnahan’ kerana enggan berunding, ketika penyelesaian segera semakin kabur.

“Parti Demokrat tidak mahu terlibat dalam rundingan dua pihak,” katanya.

Kebuntuan politik berlarutan apabila pemimpin majoriti daripada Parti Demokrat yang mendominasi Dewan Senat, Harry Reid menolak cadangan Dewan Perwakilan untuk melantik dua wakil rasmi bagi mencapai penyelesaian berhubung isu tersebut.

Tindakan nekad

Selepas Kongres gagal meluluskan Bajet Khas Persekutuan bagi mengelak kegagalan fungsi kerajaan, Pejabat Pengurusan dan Bajet Rumah Putih mengarahkan sebaha-gian agensi kerajaan ditutup.

Pengarahnya, Sylvia Mathews Burwell berkata, penutupan itu susulan ketiadaan peruntukan.

Arahan itu dikeluarkan 10 minit sebelum 12 tengah malam (12 tengah hari waktu Malaysia) di mana kerajaan AS secara rasminya tiada peruntukan selepas sehari Dewan Perwakilan (majoriti Parti Republikan) dan Dewan Senat (majoriti Parti
Demokrat), gagal meluluskan bajet khas tersebut.

Beberapa jam sebelum 12 tengah malam, Dewan Senat dengan undian 54-46 menolak usul Dewan Perwakilan berhubung rang undang-undang bajet sementara yang membolehkan bajet khas itu diluluskan.

Alasan penolakan itu turut membabitkan penangguhan pelaksanaan rang undang-undang penjagaan kesihatan selama setahun dan membatalkan pelaksanaan cukai ke atas peralatan perubatan.

Bagaimanapun, agensi ketenteraan, kawalan trafik udara dan kuasa serta senjata nuklear masih kekal beroperasi.

Jabatan Negara juga masih beroperasi memproses permohonan visa rakyat asing selain kedutaan serta konsulat masih meneruskan perkhidmatan kepada rakyat di luar negara.

AS berdepan bencana hutang

Kebuntuan politik yang melumpuhkan Kerajaan Persekutuan menyebabkan AS terjerumus dengan bencana hutang.

Kenyataan itu disuarakan Obama dalam rundingan bersama pemimpin kanan Parti Republikan.

Pertemuan sejam Obama dengan Speaker Dewan Perwakilan daripada Parti Republikan, John Boehner dan Pemimpin Minoriti Senat, Mitch McConnell, berakhir tanpa kata putus.

Mereka sebaliknya saling menuduh antara satu sama lain dan Obama mengulangi keengganannya berunding berhubung masalah bajet hingga ahli politik daripada Parti Republikan meluluskan Bajet Khas Persekutuan yang akan memulihkan
kerajaan dan meningkatkan hutang siling AS kepada AS$16.7 trilion (RM53.3 trilion).

“Krisis bajet ini perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu. Washington tidak dapat bayar hutang kerajaan dan boleh menjejaskan kadar hutang AS,” kata Obama.

Obama jumpa CEO bank

Bagi membincangkan penutupan kerajaan dan tarikh akhir yang semakin dekat untuk menaikkan had hutang negara, Obama bertemu dengan ketua eksekutif bank utama.

Mereka ditemui adalah peneraju bank termasuk Lloyd Blankfein dari Goldman Sachs, Michael Corbat dari Citigroup, Jamie Dimon dari JPMorgan Chase & Co dan Brian Moynihan dari Bank of America.

Jika Kongres gagal menaikkan had pinjaman AS$16.7 trilion (RM53.9 trilion), AS bakal mengejutkan pasaran kewangan dunia.

Sementara itu, Republikan mengugut akan mengambil langkah  sama dalam had hutang seperti dilakukan dalam pembiayaan kerajaan dengan memohon untuk menghapuskan atau menangguhkan undang-undang penjagaan kesihatan.

Namun, Obama masih enggan berunding bagi menaikkan had hutang.

Antara menghadiri mesyuarat dengan Presiden dan Naib Presiden Joe Biden ialah Robert Benmosche dari AIG, James Gorman dari Morgan Stanley dan John Stumpf dari Wells Fargo.

Apa pun, sikap pemimpin AS jelas menunjukkan mereka seperti ‘kebudak-budakan’ apabila saling mempertahankan ego masing-masing selain menggunakan ‘ugutan’ sebagai senjata bagi menunjukkan siapa lebih berkuasa.

Jika selama ini, AS sering mencanangkan mereka sebagai ‘pendamai’ di Palestin, Mesir, Syria, Libya dan Iraq, hakikatnya mereka gagal menangani masalah ‘rumah sendiri’.

Mungkinkah krisis ini adalah balasan terhadap sikap campur tangan yang akan membuatkan musuh mereka bertepuk tangan atau AS bakal terjelepok memohon  simpati negara antarabangsa?

No comments:

Post a Comment