Monday, October 7, 2013

AS serang militan di Somalia, Libya


2013/10/07
 
Washington: Amerika Syarikat membedil dua sasaran militan di Afrika kelmarin dengan menahan seorang suspek al-Qaeda di Tripoli, Libya dan menyerang kediaman pemimpin al-Shabab di Somalia.

Di Libya, tentera Amerika menahan seorang militan al-Qaeda dikenali sebagai Abu Anas al-Libi, yang sudah lama dikehendaki selepas didapati bersalah atas pengeboman kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania pada 1998.
Serbuan berasingan di bandar Barawe, selatan Somalia gagal menahan seorang lagi militan kanan dan tidak jelas sama ada dia dibunuh tetapi pegawai Amerika berkata, beberapa anggota al-Shabab maut.

Tindakan itu dilancarkan selepas militan al-Shabab menyerang sebuah kompleks beli-belah di Nairobi, Kenya, bulan lalu. Operasi di Libya dipercayai mencapai kejayaan.

“Hasil daripada operasi memerangi keganasan, Abu Anas al-Libi kini ditahan secara sah oleh tentera Amerika di satu lokasi di luar Libya,” menurut kenyataan jurucakap Pentagon, George Little.

Sumber rapat kepada Libi berkata, warga Libya itu ditahan sekumpulan lelaki bersenjata di Tripoli.

Lelaki paling dikehendaki
Libi yang berada dalam senarai lelaki paling dikehendaki Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dengan tawaran AS$5 juta (RM16.5 juta) kepada pihak yang memberi maklumat hingga dia ditangkap.

Mahkamah Persekutuan Amerika di New York sudah mendapatinya bersalah atas tuduhan terbabit dalam dua serangan pengeboman di Afrika Timur itu, yang menyebabkan lebih 200 maut.

Penangkapannya menamatkan buruan selama 15 tahun. Dia dilahirkan di bawah nama Nazih Abdul Hamed Al-Raghie.

Ia juga membolehkan Libi, 49, dibawa ke Amerika untuk menghadapi perbicaraan.
“Kami harap tindakan ini akan menjelaskan kepada semua bahawa Amerika tidak akan berhenti menahan mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan,” kata Setiausaha Negara Amerika, John Kerry, di Bali.

“Ia juga perlu menjadi mesej kepada anggota al-Qaeda dan pertubuhan keganasan lain bahawa mereka boleh lari tetapi tidak boleh bersembunyi,” katanya lagi di luar sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik APEC.

REUTERS 

No comments:

Post a Comment