Rhoma Irama |
JAKARTA: Bakal calon presiden Indonesia 2014, penyanyi dangdut, Rhoma Irama, berkata beliau mempunyai banyak rancangan jika dipilih menjadi pemimpin baru negara itu.
Antara rancangan beliau termasuk meningkatkan jumlah anggota pasukan keselamatan, memajukan koperasi luar bandar, kebebasan beragama, membantu petani dan meningkatkan belanjawan pendidikan.
Rhoma yang akan mewakili Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) menyatakan perkara ini ketika bercakap dalam satu forum di Universiti Indonesia dengan tema Menjawab Cabaran: Kepemimpinan Menjadi Bangsa Pemenang, kelmarin.
Beliau berkata, walaupun rasuah belum dapat dibanteras sepenuhnya, pembahagian kuasa dan pembinaan zon industri di luar kawasan bandar adalah baik bagi membolehkan sesebuah wilayah menguruskan keperluannya sendiri.
“Saya rasa konsep ini bagus untuk kemajuan dan pembangunan wilayah. Selain itu kita juga perlu membuat penelitian mengenai usaha lebih berkesan menangani rasuah kerana ia menyusahkan rakyat,” katanya.
Rhoma berkata jumlah anggota keselamatan perlu ditambah, sama ada anggota polis atau tentera.
“Secara ideal, nisbah polis dengan penduduk ialah seorang bagi setiap 250 penduduk. Indonesia hanya mempunyai 450,000 polis. Jumlah anggota tentera dan polis mesti ditingkatkan.
Beliau berkata Indonesia adalah negara paling subur di dunia dan ia mempunyai potensi besar sebagai sebuah negara pertanian, namun sehingga kini negara ini masih mengimport sejumlah makan asasi penduduk dan beberapa produk lain.
“Kita perlu membangunkan koperasi di desa, menggalakkan perusahaan kecil dan menengah selain perlu menyasarkan 70 peratus pasar dipenuhi dengan barangan tempatan,” katanya yang berikrar akan mengamalkan gaya kepemimpinan amanah, jujur dan adil.
“Kepemimpinan yang ideal tidak bermasalah memiliki kewibawaan, mementingkan agama, amanah, boleh dipercayai, tidak khianat dan sentiasa cerdas,” katanya.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Parti Persatuan Pembangunan (PPP) Romahurmuziy, mempersoalkan keupayaan Rhoma untuk menjadi calon presiden.
Beliau berkata Rhoma memang popular sebagai penyanyi, tetapi untuk menjadi presiden beliau perlu mempunyai wibawa dan kapasiti yang jelas.
“Populariti beliau memang jelas tetapi kami ragu jika rakyat bersedia menerima beliau sebagai calon pemimpin bangsa, kerana kedudukan beliau sebagai seorang penyanyi dangdut. Populariti beliau sebagai calon presiden tertinggal jauh berbanding Ketua Umum PPP Surhadharma Ali,” katanya.
Selain Romahurmuziy, Ketua Umum Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) Jeneral Wiranto, juga dikatakan memperlekeh pencalonan Rhoma, namun beliau menafikan.
“Secara peribadi Rhoma adalah sahabat, bukan musuh yang saya perlu bersaing habis-habisan,” katanya. - AGENSI
No comments:
Post a Comment