Sunday, December 22, 2013

Konflik di Nigeria, lebih 1,200 terkorban - PBB


LAGOS 21 Dis. - Serangan oleh kumpulan militan Islam, Boko Haram di kawasan mundur di timur laut Nigeria telah menyebabkan lebih 1,200 orang terkorban sejak Mei lalu, apabila perintah darurat diisytiharkan di wilayah itu, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Nigeria mengisytiharkan perintah darurat di Adamawa, Borno dan Yobe sejak 14 Mei lalu, berikutan meningkatnya gelombang keganasan oleh pemberontak Islam itu.
President Goodluck Jonathan menghantar beribu-ribu tentera disokong oleh tentera udara ke wilayah itu untuk menumpaskan pemberontakan yang tercetus sejak empat tahun lalu.
Angka yang dikeluarkan oleh PBB itu adalah pendedahan bebas pertama tentang jumlah korban sejak operasi tentera dilancarkan di wilayah itu.
"Kira-kira 1,224 orang terbunuh dalam serangan melibatkan Boko Haram" sejak Mei, kata Agensi Kemanusiaan PBB (OCHA) dalam satu kenyataan.
Jumlah korban itu termasuk penduduk awam, tentera serta pemberontak yang dibunuh pasukan keselamatan.
Tetapi jurucakap OCHA, Choice Okoro memberitahu AFP bahawa angka yang dikeluarkan PBB itu tidak termasuk pemberontak yang terbunuh dalam operasi tentera.
Pegawai pertahanan beberapa bulan lalu mengeluarkan beberapa kenyataan mendedahkan jumlah korban membabitkan pemberontak dalam operasi tentera ke atas kubu-kubu Boko Haram.
Maklumat lanjut berhubung kenyataan-kenyataan itu sukar disahkan memandangkan komunikasi hampir terputus di kebanyakan tempat di timur laut Nigeria dan pihak tentera dituduh sengaja tidak mendedahkan jumlah sebenar korban membabitkan penduduk awam dan pegawai-pegawainya.
"Situasi kemanusiaan di timur laut Nigeria semakin membimbangkan," kata PBB, sambil menambah kata, terdapat 48 serangan berasingan yang dilancarkan membabitkan "Boko Haram" sejak darurat diisytiharkan di wilayah itu.
Antara insiden yang membimbangkan ialah pembunuhan beramai-ramai sebelum subuh di sebuah kolej pertanian di negeri Yobe, di mana kumpulan bersenjata menceroboh asrama dalam cuaca gelap dan menembak mati 40 pelajar yang sedang tidur.
OCHA berkata, "maklumat mengenai situasi itu amat menakutkan" dengan jumlah mereka yang melarikan diri ekoran konflik itu ke negara jiran juga sukar ditentukan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131222/lu_03/Konflik-di-Nigeria-lebih-1200-terkorban---PBB#ixzz2oBDHI3xW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment