Saturday, May 24, 2014

PBB kenakan sekatan terhadap Boko Haram


NEW YORK 23 Mei - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengenakan sekatan terhadap Boko Haram selepas kumpulan militan itu menculik beratus-ratus pelajar perempuan di Nigeria, bulan lalu.
Keputusan PBB ke atas Boko Haram itu termasuk menyekat kemasukan aset antarabangsa, larangan keluar negara dan sekatan senjata berikutan permintaan Nigeria supaya kumpulan itu dikenakan sekatan oleh awal minggu ini.
Menurut kenyataan Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Samantha Power, sekatan yang dikenakan Majlis Keselamatan itu adalah langkah penting bagi membantu Nigeria menewaskan Boko Haram dan pemimpinnya yang disifatkan kejam.
"Kemasukan Boko Haram ke dalam senarai sekatan PBB, akan membantu menyekat sumber kewangan, perjalanan dan senjata kepada militan itu, sekaligus membuktikan perpaduan global menentang keganasan," katanya.
Menurut draf senarai PBB, Boko Haram dinyatakan sebagai kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda dan sering mendapatkan bantuan latihan serta bekalan barangan daripada kumpulan militan tersebut.
Pada 14 April lalu, lebih 250 pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di Chibok, Nigeria diculik oleh Boko Haram yang mengugut untuk menjual mereka sebagai hamba.
Dalam perkembangan lain, seramai 29 pekerja ladang yang sedang bekerja di utara pedalaman Nigeria maut ditembak militan Boko Haram menurut sumber polis hari ini, sehari selepas mereka memusnahkan perkampungan Chukku Nguddoa dan mencederakan 10 orang penduduk. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140524/lu_05/PBB-kenakan-sekatan-terhadap-Boko-Haram#ixzz32a7azfAF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment