Monday, May 26, 2014

Tak endah larangan


Tunjuk perasaan itu diadakan tanpa mengendahkan amaran tentera yang melarang sebarang bentuk protes dan perhimpunan.
Penunjuk perasaan mula bergerak dari daerah Chidlom menuju ke Tugu Kemenangan di pusat bandar Bangkok selepas ketegangan tercetus antara mereka dengan pasukan tentera yang bersenjata.
Ia tunjuk perasaan terbesar sejak tentera mengambil alih kuasa minggu lalu.
Tiada sebarang tanda kehadiran polis atau tentera ketika tunjuk perasaan berlangsung walaupun amaran dikeluarkan tentera melarang sebarang bentuk protes dan mengharamkan perkumpulan melebihi lima orang.
Seorang penunjuk perasaan, Kongjit Paennoy, 50, menyuarakan bantahannya terhadap rampasan kuasa yang dilakukan.
“Kami tidak takut mereka kerana semakin kita takut semakin kuat kita ditekan.
Kami mahukan pilihan raya agar kami boleh memilih kerajaan kami sendiri,” katanya.
Pihak tentera sebelum menahan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dan beberapa pemimpin kerajaan serta tokoh politik yang lain selepas rampasan kuasa itu mengundang kecaman hebat masyarakat antarabangsa.
Jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree menyeru rakyat Thai agar bertenang dan beri masa kepada mereka untuk memulihkan keadaan.
“Saya meminta rakyat supaya bertenang dan memahami keadaan yang berlaku ketika ini.

Berhenti melakukan protes menentang rampasan kuasa kerana demokrasi tidak dapat dilaksanakan secara normal buat masa ini,” katanya.
Larangan menggunakan media sosial juga adalah bagi mengurangkan ketegangan yang tercetus di negara itu.
Satu pergelutan kecil berlaku sebelum perarakan apabila sekumpulan penunjuk perasaan yang membawa sepanduk mengecam rampasan kuasa merempuh anggota tentera yang berkawal di perkarangan pusat beli-belah.
Sekurang-kurangnya dua penunjuk perasaan ditahan dan seorang luka akibat pergelutan itu.
Beberapa protes berskala kecil dijalankan sejak panglima tentera Thai, Jeneral Prayut Chan-O-Cha mengumumkan pelaksanaan undang-undang tentera Khamis lalu.
Kelmarin menyaksikan pembubaran Dewan Negara yang dilakukan tentera dan meletakkan semua kuasa pada tangan Prayuth.
Ia juga menyaksikan kebebasan awam terhalang, sekatan dikenakan ke atas media dan beberapa perlembagaan dimansuhkan.
Wartawan Thailand, Pravit Rojanaphruk menjadi pengamal media pertama dikenakan tindakan oleh pemerintahan tentera dan dibawa ke markas tentera semalam dengan pita hitam menutupi mulutnya sebagai tanda protes.
Foto
Foto

Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/26

No comments:

Post a Comment