Monday, May 26, 2014

Pas: Curi RM5 tidak potong tangan


WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2014


KOTA BHARU - "Tindakan potong tangan tidak akan dikenakan kepada kes remeh-temeh, kes mencuri RM5 dan RM10,” kata Pemangku Timbalan Ketua Ulama Pas, Datuk Dr Mahfouz Mohamad.

Menurutnya, hukuman hudud dengan memotong tangan tidak dilakukan sewenang-wenangnya dan melalui proses yang ketat serta perlu menepati syarat.

“Mereka yang wajib potong tangan bukan curi remeh temeh, bukan RM5, bukan RM10, bukan RM500, mesti harga (kes) yang mahal, kalau dibayar diat (denda) ia mesti bernilai 25 ekor unta, kalau dalam masyarakat Cina, hudud ini potong tangan sahaja, kalau nak potong tangan mesti sampai syaratnya,” katanya semasa menyampaikan pembentangan seminar Perlaksanaan Kanun Jenayah Shariah II  di Pusat Tarbiah Islam di sini, semalam. Hadir merasmikan majlis penutup, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahfouz dalam ucapannya turut menafikan hukum hudud yang dilaksanakan akan menyebabkan negara mundur,  sebaliknya menegaskan kerahmatan ALLAH SWT akan muncul selepas itu kepada negara.

“Ada seorang pemimpin berkata, perlaksanaan hudud menyebabkan ramai yang kudung dan Islam mundur, kita patut persoalkan, kita merdeka 50 tahun, pelbagai rancangan ekonomi untuk mempertingkatkan orang Melayu-Islam, kini dalam keadaan tidak ada seorang yang dikenakan potong tangan, adakah sasaran itu tercapai,” soalnya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat yang juga bekas Ketua Pemuda Pas, Nasruddin  Hassan mengakui penolakan masyarakat terhadap perlaksanaan hudud kerana tidak cukup penerangan.

No comments:

Post a Comment