Monday, May 26, 2014

Dyana calon yang bertenaga dan berani – Presiden PAS


MUHAMMAD FAIZAL | .

TELUK INTAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta pengundi Teluk Intan memilih calon yang berani dan membawa suara rakyat di parlimen.

Kata beliau, keberanian yang ditunjukkan calon yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud wanita Melayu yang sanggup mewakili DAP harus menjadi pilihan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei nanti.

"Kita pilih calon yang boleh membawa amanah kita, membawa hak suara kita di parlimen dan bukannya pemimpin yang hanya tahu 'angguk' walaupun perkara itu tak betul.

"Dyana calon yang bertenaga dan keberanian beliau yang kita inginkan. Beliau wanita Melayu yang berani menjadi calon DAP, saya sendiri pun tak berani nak jadi calon DAP," ucap beliau sambil disambut ketawa para hadirin.

Beliau berucap demikian pada Majlis Hi-tea Bersama Presiden PAS di Taman Cicerly yang turut dihadiri Dyana.

Beliau menjelaskan bahawa Dyana mempunyai peranan di dalam DAP yang akan membawa suara orang Melayu.

"Walaupun yang bertanding itu DAP tetapi calonnya adalah Melayu dan sebagai orang Melayu kita patut menangkan calon Melayu.

"Kita patut bincang soal calon, kalau DAP menang beliau yang akan bercakap bagi pihak kita. Suara beliau bukan hanya mewakili orang Cina tetapi juga suara orang Melayu," jelasnya.

Ahli Parlimen Marang itu turut memberitahu masih ada rakyat negara ini yang hairan kerana PAS sanggup bekerjasama dengan DAP dan tidak dengan Barisan Nasional (BN).

"PAS tidak bekerjasama dengan BN kerana kita telah beri peluang sebelum ini, mereka ajak kita masuk kerajaan ketika itu.

"Kita masuk dengan syarat tampilkan perkara yang elok-elok dalam pentadbiran tapi mereka tendang kita sehinggalah berlakunya darurat di Kelantan.

"BN meluluskan darurat di Kelantan melalui parlimen dengan tujuan untuk menjatuhkan PAS, DAP waktu itu membela kita dan bantah darurat di Kelantan.

"Kita tak lupa jasa dan kita kenang budi mereka, sekarang kita bersama mereka dengan matlamat perjuangan yang sama," sambung beliau.

Tambah beliau, walaupun ada perbezaan pendirian namun PAS dan DAP mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam urusan memperjuangkan hak rakyat.

"Walaupun ada perbezaan tapi banyak persamaan dan kita bekerjasama dalam hal ini, ini beza dengan Umno mereka tak mahu bincang tetapi DAP walaupun ada perbezaan pendapat kita masih boleh duduk bersama untuk berbincang.

"Kita bekerjasama dalam segala hal untuk pastikan calon Melayu dari DAP akan menang pada pilihanraya kecil ini," katanya.

Beliau yang meminta agar pengundi Melayu memberi sokongan penuh kepada Dyana bagi memastikan wanita Melayu dapat mengekalkan kemenangan Pakatan Rakyat di Teluk Intan.

Dalam pada itu beliau sempat berbual-bual dan turut memberi nasihat kepada Dyana ketika program hi-tea itu. - HARAKAHDAILY 26/5/2014

No comments:

Post a Comment