BANGKOK - Lebih 1,000 penunjuk perasaan tidak mengendahkan undang-undang tentera dengan berarak di tengah kota raya ini semalam bagi membantah rampasan kuasa yang dilakukan junta tentera baru-baru ini.
Para penunjuk perasaan berarak dengan membawa sepanduk yang mengutuk rampasan kuasa tersebut dan melaungkan slogan mendesak junta tentera supaya keluar dari sini.
Sejak Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Prayuth Chan-ocha mengumumkan merampas kuasa Khamis lalu, kumpulan berkenaan berterusan membuat siri bantahan.
Junta tentera sebelum ini memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengadakan tunjuk perasaan, manakala undang-undang darurat melarang perhimpunan melebihi lima orang.
Namun, semalam tiada askar dan anggota polis berkawal di lokasi tersebut.
Junta tentera Thailand kelmarin membubarkan Dewan Senat dan mengambil alih kuasa untuk menggubal dan merombak undang-undang.
Prayuth turut memegang jawatan sebagai Pemangku Perdana Menteri.
Terbaharu, beliau telah memanggil 190 ahli politik dan ahli akademik untuk melaporkan diri kepada pihak berkuasa.
Antara yang hadir untuk menyerah diri termasuk bekas Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan yang disingkirkan menerusi rampasan kuasa.
Niwattumrong sebelum ini menjadi Perdana Menteri sementara menggantikan Yingluck Shinawatra yang disingkirkan menerusi Mahkamah Perlembagaan selepas beliau didapati bersalah menukarkan seorang pegawai tinggi kerajaan.
Yingluck merupakan adik bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang digulingkan tentera dalam satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah pada tahun 2006.
Turut berada dalam senarai 190 orang yang ditahan itu ialah ketua penunjuk perasaan, Suthep Thaugsuban yang mengetuai tunjuk perasaan antikerajaan selama tujuh bulan di sini dan beberapa lokasi sekitarnya.
Dalam perkembangan lain, junta tentera menafikan menangkap Yingluck seperti yang dilaporkan oleh media.
"Yingluck cuma dipanggil untuk disoal siasat dan diminta tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti politik, beliau tidak ditangkap seperti yang dilaporkan," kata seorang jurucakap junta tentera Thailand. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0526&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz32lu3x7Kg
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment