• Suryadharma Ali Suryadharma Ali

JAKARTA - INDONESIA . Menteri Agama Indonesia Suryadharma Ali hari ini meletak jawatan sebagai menteri kabinet selepas didakwa terbabit dalam skandal penyalahgunaan dana haji.
    
Suryadharma yang juga Ketua Umum Parti Persatuan Pembangunan (PPP), membuat keputusan itu dalam pertemuannya dengan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Naib Presiden Indonesia, Boediono di Istana Bogor, Jawa Barat pada Isnin.
  
Suryadharma adalah tokoh berprofil tinggi terbaharu, yang didakwa terlibat dalam rasuah seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) Indonesia kerana terbabit dalam skandal melibatkan agensi pengurusan dan pengendalian dana haji bagi 2012–2013.
  
Sebelum ini, KPK dalam kenyataan mendakwa terdapat keraguan dalam urusniaga bernilai AS$20 juta (RM64 juta) yang merangkumi dana kerajaan serta wang simpanan umat Islam yang mahu menunaikan rukun Islam kelima itu.
  
Dakwaan tersebut menimbulkan perasaan marah dan kecewa dalam kalangan rakyat kerana majoriti dari 234 juta penduduk negara itu adalah penganut agama Islam.

Umat Islam di Indonesia perlu membuat simpanan dalam dana khas tabung haji bagi membolehkan mereka menunaikan ibadah tersebut, dengan sebahagian besar mereka terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk mendapatkan kuota menunai haji.
  
Penglibatan Suryadharma dalam isu rasuah terbaharu itu juga dilihat pemerhati politik bakal menjejas peluang calon presiden, Prabowo Subianto yang mendapat sokongan daripada parti politik Islam pimpinan Suryadharma itu.
  
Siasatan KPK mendapati terdapat beberapa salah laku dalam beberapa urusan pengendalian haji termasuk kos mengerjakan haji, penempatan jemaah di Tanah Suci serta cara pemilihan jemaah dilakukan. - Bernama