Monday, May 26, 2014

Rampasan kuasa tentera tidak boleh diterima


ABDUL AZIZ MUSTAFA | .
KUALA LUMPUR:Tindakan tentera merampas kuasa dari kerajaan Thailand yang dipilih secara demokratik tidak boleh diterima, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Walaupun kita marah dengan layanan kerajaan Thai dari semua regim terhadap umat Islam di Patani, tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menerima tindakan tentera negara itu merampas kuasa dari kerajaan yang dipilih secara demokratik," katanya.

Walaupun konflik politik Thailand berlarutan lebih enam bulan lalu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, ia bukan lesen yang menghalalkan rampasan kuasa oleh tentera.

Konflik politik di Thailand tersebut dicetuskan oleh protes berhubung rang undang-undang pengampunan tahun lepas yang akhirnya dibatalkan selepas mendapat tekanan daripada kumpulan pembangkang.
 
Ia dilihat sebagai langkah bagi membolehkan kepulangan Thaksin yang berada dalam buangan.

Ketua Tentera Thailand Jeneral Prayuth Chan mengumumkan rampasan kuasa di negara ini pada Khamis lalu berikutan kegagalan pihak yang terlibat dalam sengketa politik mencapai persetujuan setelah bermesyuarat selama dua hari.

Pemimpin kumpulan penyokong dan penentang kerajaan ditangkap.

Laporan terbaru menyatakan, kemarahan penduduk awam terhadap rampasan kuasa tentera Thailand semalam meningkat dengan lebih seribu penunjuk perasaan berarak melaungkan ‘Keluar!’ di Bangkok biarpun pihak tentera mengeluarkan amaran terhadap sebarang tindakan bantahan.

Penunjuk perasaan mula berarak di daerah Chidlom dan bergerak di seluruh bandaraya itu hingga ke Tugu Peringatan Victory dimana berlaku suasana tegang dengan tentera bersenjata yang berkawal di ibu negara berkenaan, lapor AFP.

Ia adalah luahan bantahan besar-besaran sejak rampasan kuasa tentera Khamis lalu berikutan krisis politik selama beberapa bulan.- HARAKAHDAILY, 

No comments:

Post a Comment