|
WASHINGTON - Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengemukakan bukti-bukti yang mengaitkan penglibatan Rusia dalam tragedi sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang ditembak jatuh dekat Grabovo, timur Ukarine pada 17 Julai lalu.
Menurut akhbar The Washington Post semalam, para pegawai kanan perisikan AS turut mendedahkan imej satelit dan beberapa maklumat sensitif perisikan yang menunjukkan Moscow memberi latihan serta membekalkan senjata kepada kumpulan pemisah Ukraine yang didakwa bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.
Pegawai-pegawai itu turut mengemukakan bukti lain seperti alat pengesan yang mengesan laluan peluru berpandu, kesan serpihan pada badan pesawat, analisis suara beberapa pejuang pemisah yang mendakwa melancarkan peluru berpandu dan berpuluh-puluh gambar serta data lain dari internet.
Buat pertama kalinya, AS mengenal pasti terdapat kemudahan tentera Rusia berhampiran bandar Rostov yang merupakan pusat sokongan Moscow terhadap para pejuang pemisah di Ukraine.
Kemudahan berkenaan disyaki menjadi hab latihan dan bekalan senjata kepada para pejuang pemisah pro-Rusia.
Menurut para pegawai itu, kereta kebal, pelancar roket dan senjata lain terus dihantar ke Ukraine walaupun selepas pesawat MH17 ditembak jatuh dan mengorbankan seramai 298 penumpang.
Beberapa penganalisis dari Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan agensi perisikan AS yang lain turut meneliti maklumat berhubung nahas itu.
Namun, maklumat perisikan yang dikumpulkan dalam tempoh lima hari selepas tragedi tersebut menunjukkan para pejuang pemisah Ukraine yang mendapat sokongan Moscow telah menembak jatuh pesawat itu.
Beberapa pegawai perisikan AS juga berkata, mereka menolak kemungkinan bahawa tentera Ukraine bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.
"Ia merupakan satu senario yang mustahil," kata seorang pegawai kanan AS.
Ujarnya, agensi-agensi perisikan AS telah mengesahkan bahawa Ukraine tiada sistem peluru berpandu antipesawat yang berada pada jarang pesawat MH17 ketika serangan berlaku.
Pegawai itu turut memberi taklimat kepada wartawan di sini bagi memberi maklumat terperinci terhadap penilaian yang dilakukan agensi perisikan AS.
Pertemuan itu yang turut dihadiri dua lagi pegawai perisikan AS yang diatur bagi mengemukakan lebih banyak bukti bagi menolak dakwaan yang dikemukakan Rusia sebelum ini.
Rusia sebelum ini menafikan mereka terlibat dalam kejadian tersebut atau membekalkan para pejuang pemisah dengan pelancar peluru berpandu antipesawat SA-11. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0724&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz38Ktr7xIs
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment