Thursday, July 24, 2014

Nahas MH17: Pemisah pro-Russia mengaku tembak


2014/07/24

Rome: Sebuah akhbar Itali semalam melaporkan pengakuan mengejutkan seorang pemisah pro-Russia bahawa unitnya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia, MH17, Khamis lalu.

Corriere della Sera dalam satu temubual dengan pemisah terbabit melaporkan semalam bahawa pihaknya mengakui bahawa pasukan pro-Russia itu menyangkakan pesawat penumpang berkenaan adalah milik tentera Ukraine.


Laporan itu seterusnya menyebut bahawa pemisah itu mengatakan dia dan rakan pasukannya dimaklumkan untuk bersiap sedia menyerang tentera Ukraine yang akan keluar dari pesawat yang disyaki milik tentera itu sebaik sahaja mereka mendarat.

“Pada tengah hari Khamis itu, komander kami mengarahkan untuk memasuki lori dilengkapi dengan senjata dan peluru. Kira-kira 10 minit sebelum itu, ada satu letupan besar di udara.

Bukan pesawat tentera


“Kami baru menembak sebuah pesawat Kiev Fascists, mereka memaklumkan kami memberi amaran untuk berwaspada kerana sekurang-kurangnya ada anggota yang akan keluar dari pesawat itu,” kata pemisah berkenaan kepada akhbar harian Itali itu dalam satu temubual di stesen keretapi Torez di mana kereta api membawa mayat mangsa MH17 berlepas ke Kharkiv.
“Anggota saya melihat payung terjun di darat dan di pokok. Secara tiba-tiba saya nampak serpihan besi. Di bawahnya saya dapati mayat seorang kanak-kanak perempuan, yang mungkin tidak lebih lima tahun. Dia terbaring dengan muka terlungkup. Barulah saya sedar ia adalah sebuah pesawat awam. Tiada tentera di dalamnya,” katanya dalam temubual itu.

Seorang pemisah berusia 31 tahun yang enggan mendedahkan nama dan pangkatnya berkata, dia adalah ahli unit separa tentera Oplot, yang menurut Corriere della Sera diarah untuk mengawal kawasan nahas sejak Khamis lalu.

Pendedahan ini dibuat lima hari selepas ketua pemisah, Igor Girkin mendakwa menembak pesawat disangka milik tentera Ukraine. - AGENSI

No comments:

Post a Comment