Thursday, July 24, 2014

Yang tersirat di sebalik tragedi MH17?


HARIS ZALKAPLI | .

MALAYSIA berdepan tragedi penerbangan kedua dalam tempoh empat bulan, apabila pesawat Penerbangan Malaysia MH17 terhempas akibat ditembak jatuh di wilayah berkonflik Ukraine, dekat dengan sempadan Rusia.

Sejurus laporan dan ulasan peristiwa ini muncul di media, satu konsensus dalam media Barat kelihatan telah dicapai, mengaitkan pemberontak pro-Rusia sebagai pihak yang bertanggungjawab.

Media Amerika Syarikat dan negara-negara Barat lain telah mengekalkan naratif kaitan kumpulan pemberontak pro-Rusia dengan kemalangan pesawat MH17 sejak awal, dengan segera memberi gambaran implikasi geopolitik peristiwa ini.

Presiden AS Barack Obama segera membuat kenyataan amaran kepada Rusia dan pemberontak agar tidak mencemarkan lokasi pesawat terhempas, dan menyatakan kesediaan AS untuk membantu siasatan kepada Presiden Ukraine Petro Poroshenko, yang menyatakan kesediaan menerima penyiasat antarabangsa.

Naib Presiden Joe Biden pula menegaskan yang peristiwa itu bukan satu kemalangan yang tidak disengajakan. Menurutnya, yang jelas daripada yang dapat diperhatikan ialah pesawat Malaysia itu ditembak.

Bekas Setiausaha Negara Hillary Clinton menyampaikan kenyataan keras, mengatakan bahawa ada petunjuk kuat yang pemberontak pro-Rusia bertanggungjawab. Tegasnya, tindakan perlu diambil untuk menyampaikan mesej kepada Putin yang beliau telah bertindak berlebihan.

John McCain, senator yang menganggotai jawatankuasa hubungan luar senat, walaupun menegaskan tidak akan menuduh mana-mana pihak selagi tiada bukti menyatakan yang Rusia bakal berdepan tindakan keras sekiranya terbukti pihak Rusia atau pemberontak pro-Rusia terlibat menembak MH17.

Sekutu kuat AS di Asia Pasifik, Australia juga telah menunjukkan pandangan yang selari dengan AS. Perdana Menteri Tony Abbott mengatakan di parlimen yang peristiwa itu kelihatan lebih sebagai satu tindakan jenayah berbanding kemalangan.

Abbott turut memperlihat sikap kritikal terhadap Rusia, dengan menegaskan yang Rusia tidak boleh berdiam diri kerana kejadian berlaku di kawasan pemisah yang disokong Rusia.

Ukraine ialah sekutu rapat Washington dalam persaingan dengan Rusia di wilayah pasca-Soviet yang masih menyaksikan penguasaan dan tindakan agresif Rusia, yang semakin meningkat di bawah Presiden Vladimir Putin kini (gambar bawah).

Rusia menakluk Crimea, wilayah Ukraine berbentuk semenanjung di Laut Hitam, pada Mac lalu dalam satu tindakan mengejutkan dan meningkatkan permusuhan antara Rusia dengan Barat, terutama AS.

Konflik terus berlangsung di Ukraine, apabila kumpulan militan pemisah disokong Rusia terus aktif di wilayah timur Ukraine yang didiami majoriti penduduk cenderung ke Rusia.

Perkembangan terbaharu ini meningkatkan konfrontasi antara Rusia dengan Barat, dan memberi peluang kepada AS dan sekutu dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, meningkatkan tekanan dan mengolah tindakan baharu terhadap Putin dan Moscow.

Tragedi MH17 di Ukraine berlaku kurang sehari selepas AS dan Eropah mengumumkan sekatan baharu terhadap syarikat-syarikat penting Rusia, termasuk institusi kewangan dan syarikat tenaga.

Peristiwa ini sedang menyaksikan kesan negatif kepada Rusia, apabila AS dan sekutu-sekutu telah melemparkan kritikan terhadap Rusia, yang tertumpu pada pertanggungjawaban Rusia kerana membekalkan peralatan perang yang canggih kepada pemisah di Ukraine, negara yang kini dikuasai pemerintah pro-Barat.

Obama, dalam sidang medianya pada Jumaat menegaskan solidariti dengan negara-negara yang terlibat, dan menekankan sekali lagi keperluan kerjasama negara-negara terlibat termasuk Rusia dan agar kawasan kemalangan tidak dicemar dan keperluan penyiasat antarabangsa yang bebas.

Penyiasat antarabangsa yang bebas ini ditegaskan sejak awal bersama presiden Ukraine dan Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak, yang bermaksud sebagai satu amaran kepada Rusia tidak menghalang siasatan ke atas insiden ini yang berlaku di wilayah dikuasai pemisah pro-Rusia.

Pada Jumaat, penyiasat Organisasi bagi Keselamatan dan Kerjasama di Eropah, OSCE, telah tiba di lokasi insiden. Pemberontak dikatakan menghalang akses kepada kawasan pesawat terhempas, dan kemungkinan penglibatan mereka bakal mendorong lagi tindakan menyekat penyiasat luar.

Obama juga dalam ucapan itu menegaskan pendirian AS mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera di wilayah berkonflik di timur Ukraine itu.

Kejadian MH17 ini melibatkan pihak utama yang merupakan sekutu rapat AS seperti Belanda, Malaysia, Australia dan Ukraine. Hal ini membolehkan AS memimpin respons terhadap kejadian ini dan kesan-kesannya kemudian.

Dalam sidang media itu, Obama juga menegaskan bahawa konflik di Ukraine kini memperlihatkan implikasi globalnya yang tidak boleh diabaikan lagi oleh dunia.

Setakat ini, Washington secara rasmi masih tidak menunjukkan kecenderungan untuk secara terbuka dan keras menekan Rusia, tetapi secara konsisten membina sokongan daripada masyarakat antarabangsa untuk menunjukkan respons yang seragam.

Perkembangan ini bermakna Malaysia kini berdepan kemungkinan menghadapi ujian dalam hubungan dengan Rusia, selepas hubungan dengan China terjejas akibat peristiwa kehilangan MH370 empat bulan lalu.

China dan Rusia ialah sekutu yang semakin merapatkan hubungan dan kerjasama dalam politik, perdagangan dan ekonomi sejak kebelakangan ini, yang berjalan selari dengan kemerosotan hubungan dengan AS.

Kedua-dua negara ialah sebahagian daripada lima negara kuasa ekonomi dan politik yang pantas meningkat yang digelar Brics, menggabungkan Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.

Gabungan ini baru-baru ini mengumumkan penubuhan bank pembangunan yang dilihat sebagai pencabar kepada Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa, IMF, dan pada masa yang sama melaksanakan urusniaga yang meningkatkan profil mata wang yuan China.

Sekiranya ini terjadi, ini bermakna Malaysia bakal terlibat lagi dalam persaingan kuasa besar dunia, yang implikasinya bakal mempengaruhi politik global, terutama melibatkan hubungan AS dan sekutu dengan Rusia.

Ini mendedahkan Malaysia kepada cabaran keselamatan yang semakin meningkat, yang disukarkan lagi oleh peranan besar kuasa-kuasa global yang mempunyai hubungan baik dengan Kuala Lumpur. –HARAKAHDAILY 24/7/2014

No comments:

Post a Comment