Wednesday, July 30, 2014

Gagal masuki lokasi pesawat terhempas


The Hague: Pasukan penyiasat antarabangsa gagal memasuki lokasi pesawat MH17 terhempas sejak tiga hari lalu susulan pertempuran berterusan di antara pasukan berkuasa Kiev dan tentera pemberontak pro- Russia.

Jurucakap Kementerian Kehakiman Belanda dipetik berkata, pasukan penyiasat Belanda dan Australia tidak dapat meninggalkan Donetsk untuk menuju ke lokasi kejadian di timur Ukraine.



Menurutnya, keadaan agak genting di lokasi kejadian akibat peperangan di antara dua pihak.

“Seramai 26 penyiasat dan polis tentera Belanda bersama 11 penyiasat Australia terpaksa menunggu di Donetsk sementara menanti masa sesuai untuk menyambung tugas siasatan,” katanya dalam kenyataan rasmi semalam.

Sementara itu, seorang pegawai keselamatan Ukraine dipetik berkata, terdapat serpihan letupan roket ditemui pada kotak hitam milik pesawat MH17 yang dipercayai ditembak jatuh di timur Ukraine.

Jurucakap Majlis Keselamatan dan Pertahanan Ukraine, Andriy Lysenko berkata, penyiasat antarabangsa mendapati kesan penyahmampatan letupan yang besar akibat letupan roket pada data perakam penerbangan itu.

Bagaimanapun, kumpulan penyiasat yang mengetuai siasatan di Belanda enggan mengesahkan maklumat terbaru dari Kiev itu, dengan menyatakan bahawa mereka sedang menunggu gambaran lebih lengkap berhubung apa sebenarnya yang berlaku.

Data dari kotak hitam pesawat itu dianalisis di Britain selepas ia diserahkan kepada pegawai Malaysia oleh kumpulan pemberontak pro-Russia yang mengawal lokasi nahas MH17 pada 22 Julai lalu.


Kiev dan sekutu baratnya mendakwa kumpulan pemberontak pro Rusia yang menembak jatuh pesawat itu dan mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

No comments:

Post a Comment