Wednesday, July 30, 2014

Kemelut MB Selangor berkait isu air


Oleh Ibrahim Isa
Muar: Pertukaran Menteri Besar Selangor dikhuatiri menyebabkan lebih dua juta rakyat di Lembah Klang berdepan masalah kekurangan air, berikutan ura-ura menteri besar baru akan mengkaji semula perjanjian antara kerajaan negeri, Kerajaan Persekutuan dan syarikat konsesi.

Keadaan itu juga boleh menjejaskan jalan penyelesaian yang diambil bagi mengatasi masalah bekalan air menerusi projek Langat 2 tidak akan diteruskan, sekali gus mengakibatkan penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berdepan dengan masalah air.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, terdapat ura-ura antara sebab Pakatan Rakyat (PR) mahu menukar Menteri Besar Selangor kerana tidak berpuas hati dengan persetujuan dicapai bersama Kerajaan Pusat.

“Satu daripada sebab diberikan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk membuat perubahan ini (tukar menteri besar) apabila Wan Azizah (Datuk Seri Wan Azizah Ismail) menjadi menteri besar, mereka akan mengkaji semula perjanjian air yang dilakukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini kerana, mereka tidak setuju dengan rundingan dibuat Khalid dengan Kerajaan Persekutuan untuk selesaikan masalah Langat 2 atau penstrukturan semula bekalan air di Selangor.

“Bagi kami dan saya sebagai Pengerusi Kabinet untuk menyelesaikan masalah ini, ia satu perkembangan yang cukup membimbangkan kerana perjanjian kini di peringkat mutakhir untuk dimeterai, namun ada pula ura-ura kononnya apabila menteri besar baru dilantik dia (menteri besar) akan mengkaji semula perjanjian itu,” katanya pada majlis jamuan hari raya bersama media di rumahnya di Tanjung Emas di sini, semalam.

Terdahulu, Muhyiddin bersama isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman menziarah pusara keluarga di Tanah Perkuburan Islam Batu 1 dan Batu 6, Bakri, di sini.

Beliau tiba kira-kira jam 10 pagi dan meluangkan masa hampir sejam melawat pusara ibu bapa dan keluarganya.

Muhyiddin berkata, sekiranya perkara itu berlaku rakyat Lembah Klang akan menjadi mangsa kerana bekalan air dibekalkan di tiga kawasan itu datangnya dari negeri Selangor dan dibekalkan oleh syarikat konsesi yang dilantik.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/30

No comments:

Post a Comment