• Ean Yong Hian WahEan Yong Hian Wah

SHAH ALAM - Tindakan keempat-empat Exco Pas Selangor yang berdegil untuk menghadiri mesyuarat mingguan Exco hari ini sangat mengecewakan rakan parti komponen dalam PR.

Menurut Exco DAP Selangor, Ean Yong Hian Wah, tindakan Exco berkenaan sebagai tidak adil dalam semangat kerjasama politik yang dipersetujui dalam gabungan itu.

"Saya sangat kecewa apabila empat Exco Pas menghadiri mesyuarat Exco hari ini.

"Ia menunjukkan Pas tidak adil dalam semangat kerjasama politik yang dicapai sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Malam tadi, DAP meminta Pas turut menunjukkan solidariti dalam PR dengan tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

Dalam pada itu, Hian Wah memberitahu, beliau masuk ke pejabat hari ini dan menjalankan tugasnya seperti biasa walaupun telah dipecat semalam.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terus menerajui Kerajaan Negeri Selangor sebagai tidak masuk akal kerana beliau adalah seorang Adun Bebas.

"Tindakan Abdul Khalid itu tidak berperlembagaan dan mengamal politik tidak bermoral.

"Abdul Khalid perlu ingat bahawa mandat rakyat pada Mei 2013 adalah untuk PR dan bukannya untuk beliau sendiri," katanya lagi.

Sehubungan itu, Hian Wah mendesak supaya Abdul Khalid meletakkan jawatan menteri besar dan mengembalikan kuasa itu kepada rakyat.

Beliau juga menggesa supaya pimpinan tertinggi PR supaya mengadakan mesyuarat khas secepat mungkin untuk membuat keputusan yang muktamad berhubung krisis Menteri Besar Selangor itu.