Wednesday, August 13, 2014

Penggabungan bank untungkan siapa?


DR DZULKEFLY AHMAD | .

CADANGAN penggabungan bank sekali lagi mengambil pentas utama dalam sektor kewangan negara mutakhir ini.

Saya ditanya pihak media apakah ia punya hubungan dengan persiapan mendepani cabaran era persaingan yang lebih sengit setelah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ditandatangani.

Setelah saya ditanya media dan mungkin sahaja boleh 'diputar’ atau ‘spin’ oleh pihak media bagi menyokong atau membantah sesuatu maksud, lebih baik saya terus menulis sahaja artikel berhubung tajuk ini.

Menubuhkan sebuah bank bersifat mega dan mempunyai aset yang lebih besar, logiknya akan memberi keupayaan untuk lebih mampu bersaing. Begitulah agaknya tanggapan umum. Kalau diberitahu oleh pihak kerajaan akan keperluannya begitu, akan pasti diangguk dan diterima sahaja oleh rakyat.

Untuk peringatan umum, kali terakhir ‘penggabungan bank’ berlaku secara besar-besaran adalah pada era Tun Dr Mahathir Mohamad setelah kegawatan kewangan 1997.  Malaysia yang ada 58 institusi kewangan dan perbankan diarah bergabung menjadi enam ‘anchor bank'.

Tidak ramai yang ingat bahawa ‘konflik kepentingan’ antara Tun M dan Tun Daim Zainudin, setelah menggantikan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipecat sebagai Menteri Kewangan, berakhir dengan menyaksikan jumlah 'anchor bank' menjadi 10 buah. Tun Daim yang berebut dengan Mokhzani Mahathir untuk mengambil alih ‘control’ salah satu ‘anchor bank' tersebut.

TRADISI SONGSANG

Peristiwa ini juga merakamkan sejarah yang menyaksikan Tun M melantik dirinya sebagai Menteri Kewangan dan sehingga kini tradisi ‘songsang’ ini diteruskan secara ‘komplian’ oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kini Dato' Seri Najib Razak.

Penguasaan terhadap Kementerian Kewangan sekali gus memberikan Presiden Umno kawalan ke atas sektor kewangan negara yang sebahagian besarnya adalah dalam pemilikan kerajaan melalui syarikat-syarikat kaitan kerajaan (GLC) mengikut dapatan Dr Terrence Gomez, seorang profesor ‘Political Economy’ di Universiti Malaya.

Untuk ingatan umum, semasa Krisis Kewangan Asia 1999, bebanan hutang tak berbayar (NPL) seumpama ditanggung Sime Bank (nama asal UMBC) dan Bank Bumiputra, yang 'dikontrol' oleh kerajaan, mencecah RM21 bilion daripada sejumlah RM28 bilion seluruh NPL dalam negara.

Bank Bumiputra digabung dengan Bank of Commerce menjadi sebahagian daripada CIMB Holding Group. Sementara itu, Sime Bank digabungkan dengan RHB Bank yang umum mengetahui dimilikki oleh Tan Sri Rashid Hussain. Ketika Rashid Hussain ‘bermasalah’ dengan pimpinan Umno, kepentingan RHB diambil oleh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud melalui penggabungan dengan Bank Utama dan dana KWSP memiliki pegangan saham majoriti.

SKANDAL UMBC

RHB itu sendiri adalah hasil penggabungan antara Kwong Yip Bank yang dibeli daripada Malayan Banking dan Bank D&C yang ditubuhkan oleh bekas Menteri Kewangan HS Lee dan dimiliki oleh anaknya Alex Lee, seorang pimpinan kanan Parti Gerakan, yang juga rapat dengan Tun M dan Daim.

Meneliti sejarah CIMB dan RHB secara lebih khusus akan menyerlahkan dakwaan tentang bagaimana sektor kewangan ini sememang menjadi perebutan dan dikawal rapi oleh kepentingan penguasa politik dan elit bisnes.

Umno pada 1975 mengambil alih sebuah bank berpangkalan di Sarawak iaitu Bank Bian Chiang dan dijenamakan kembali sebagai Bank of Commerce, yang sepatutnya bergabung dengan UMBC (United Malayan Banking Corporation) milik Daim pada 1985 tetapi gagal dilaksanakan. Peristiwa yang diberi jolokan “UMBC Scandal” berakhir dengan saham Daim dalam UMBC dijual kepada Pernas.

UMBC kemudiannya berada di bawah 'kontrol' Datuk Keramat Holding dan koperasi Umno, KUB. UMBC mengalami pelbagai masalah tadbir-urus dan skandal pinjaman, sehingga beralih kawalan di bawah Sime Darby, sebuah GLC awam. UMBC mengalami penjenamaan semula dengan nama Sime Bank yang kemudiannya bergabung dengan RHB.

Pada 10 Julai lalu, pasaran kewangan kembali sibuk dengan berita bahawa penggabungan antara CIMB Group Holding, RHB Capital, dan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) sedang dalam proses pembikinan. Ia sekali gus akan menampilkan sebuah institusi kewangan Islam terbesar di Asia Tenggara.

Ia akan membentuk sebuah bank mega dengan aset sejumlah RM613.7 bilion, mengatasi bank utama dan terbesar di Malaysia, iaitu Maybank Bhd yang memiliki aset sebanyak RM578 bilion.

TUJUAN PENGGABUNGAN

Nah, apakah tujuan penggabungan buat kali ini? Ramai yang ingin tahu. Apakah cakap tentang perlaksanaan TPPA puncanya?

Yang jelasnya daripada sedikit pengkisahan dan naratif penggabungan perbankan di atas, ia adalah lebih tepat lagi untuk konsolidasi kuasa dan 'kontrol-kawalan' pihak keajaan dan elit bisnes. Maka  dalam pusingan kali ini pun, penulis cenderung untuk membuat telahan bahawa ia juga bermatlamat sedemikian.

Siapa yang mendapat keuntungan segera daripada proses penggabungan ini tidak perlu dipertikaikan kerana umum sudah sangat faham dan tahu bank mana yang kerap diberikan tugasan melaksanakan kegiatan M&A atau penggabungan dan pembelian seperti ini.

Tidak ada penganalisis kewangan pun yang diperhatikan penulis secara jelas menyokong penggabungan bank menjadi sebuah ‘mega bank’ sebagai langkah yang bijak dan wajar dalam mendepani cabaran TPPA.

Sebaliknya proses pergabungan yang dizinkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk dilunaskan dalam 90 hari itu, dilihat sebagai berpotensi mencetuskan pelbagai masalah kompleks dalam proses integrasi atau penggabungan serta menampilkan pelbagai risiko dan cabaran.

Kekhuatiran ini dilahirkan oleh sebuah agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings. Isu-isu yang dibangkit Fitch Rating adalah sangat munasabah bersabitan proses integrasi yang kompleks di antara CIMB dan RHB yang dirumitkan lagi dengan kmasukan MBSB yang bukan sebuah bank. Juga Fitch Ratings menelah kemungkinan akan melemahkan ‘capital buffer’ bagi CIMB kalau tidak dibantu dengan suntikan ekuiti baru yang mencukupi.

PEKERJA MENJADI MANGSA

Tidak kurang juga ada pihak-pihak yang akan menjadi mangsa dan dimangsakan seumpama pekerja-pekerja dan pemilik saham minoriti, seperti biasa.

Maka tidak hairanlah, cadangan penggabungan CIMB Group Holding, RHB Capital, dan Malaysian Building Society Bhd (MBSB) ini telah ditentang oleh beberapa pihak. Masing-masing punya sebab untuk menolak penggabungan.

Putrajaya berdepan kritikan terhadap cadangan penggabungan ini apabila kesatuan perbankan nasional, pemimpin Umno sendiri dan kerajaan Abu Dhabi membantah pembentukan bank terbesar negara itu.

Abu Dhabi (melalui Aabar Investment PJS) pemilik 21.4% saham RHB, mahu memastikan mereka mendapat harga bayaran saham terbaik. Mereka turut mengugut Putrajaya untuk menarik balik pelaburan berbilion ringgit bagi projek Rapid Petronas di Pengerang. Isunya adalah harga saham.

Sementara Abu Dhabi khuatir tentang kepentingan mereka tidak diambil kira dalam proses penggabungan ini, Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE), menyuarakan rasa tidak puas hati dengan Bank Negara kerana tidak dibawa berunding bersama.

Secara lebih khusus mereka mahu pastikan nasib pekerja-pekerja bank terjamin selepas penggabungan. Penggabungan pusingan pertama meninggalkan pekerja sebagai mangsa ‘collateral damage’ dalam ‘perang korporat’ merebut kuasa dan 'kontrol'.

NEPOTISME

Pemimpin Umno membantah kerana mereka akan dituduh mengamalkan nepotisme dan kronisme kerana CIMB diterajui adik kepada PM Najib iaitu Dato' Seri Nazir Razak.

Kalau benar mewujudkan sebuah Mega Bank Islam adalah penting maka mengapa tidak diberikan kepada Maybank, bank milik negara, yang juga mahu membeli RHB sedikit waktu dahulu? Jelas persepsi tentang amalan kronisme Putrajaya sekali lagi berbangkit.

Ketiga-tiga institusi ini mempunyai satu persamaan yakni dimiliki oleh KWSP, yang berkebetulan di bawah penguasaan Menteri Kewangan dan Perdana Menteri. Tidak dapat tidak ‘masalah persepsi’ tentang amalan kronisme sukar untuk dinafikan ketika Najib memilih Nazir melalui CIMB dan tidak pula Maybank untuk melaksanakan mewujudkan Mega Bank Islam ini.

Benar Nazir akan diganti Dato' Zafrul Abdul Aziz, selaku CEO baru CIMB namun Nazir disamping akan mengambil alih Pengerusi Lembaga akan juga menjadi Pengerusi sebuah ‘Jawatankuasa Eksekutif’ yang bakal ditubuhkan CIMB yang berperanan dalam penentuan polisi dan urusan strategik pelaburan.

Maka persoalan yag perlu dijawab Najib dan pentadbirannya di Putrajaya adalah, apakah penggabungan ini mencetuskan ‘iklim’ dan menyuntik semangat dan keyakinan ‘pelabur’ terhadap sektor kewangan dan perbankan negara?

MEGA BANK

Penguasaan elit politik yang bersekongkol dengan elit bisnes adalah satu sindrom dan amalan yang sangat dibenci pelabur kerana acapkali meletakkan akhirnya mereka tidak bersaing di atas ‘padang sama-rata’. Ini akan bakal meneruskan kegiatan ’rent-seeking’, kronisme dan nepotisme dalam pelbagai kegiataan tadbir-urus yang dilhat dan dipandu oleh kepentingan ‘parokial’ pihak tertentu serta ‘greed’ atau tamak sekali gus merosakkan pasaran kewangan.

Sememangya betul penggabungan ini akan menjadi entiti ini keempat terbesar di segi 'aset' selepas DBS Group milik Singapura, Oversea-Chinese Banking Corp (OCBC) dan United Overseas Bank.

Sememangnya ia akan membenarkan entiti ‘Mega Bank’ ini melakukan ’leveraging'nya pada skala yang lebih besar di rantau ini dan mengizinkan pinjaman serantau atau ‘regional lending’ dan ‘pembiayaan perniagaan rentas sempadan’ atau ‘cross-border trade financing’ dapat dijalankan.

Juga kumpulan yang bergabung ini pastinya akan mempunyai yang terbesar dari segi keuntungan (profit), pinjaman (loan) dan jumlah pendeposit. Mereka juga akan dapat membuka lebih banyak lagi cawangan di Singapura apabila mendapat status ‘Qualifying Full Bank' (QFB).

Maybank yang kini memiliki 22 cawangan di Singapura sementara CIMB, selama kini gagal mendapat status QFB dan hanya ada dua cawangan di Singapura, Pusat Kewangan paling rancak di rantau ini. Sementara RHB punya tujuh cawangan. Ini yang diidam-idamkan CIMB bukan sangat kerana TPPA dan persaingan yang bakal dihadapi nanti.

BESAR BUKAN SEGALANYA

Namun seperkara juga yang perlu diingatkan bahawa pengalaman krisis 'sub-prima' di Amerika Syarikat membuktikan bahawa ‘besar bukan segala-galanya’. Pengalaman keruntuhan institusi kewangan membuktikan dakwaan ini. Lehmann Brothers, Bear Stearns dan Merill Lynch, AIG, Fannie Mae dan Freddie Mac adalah contoh-contohnya.

Kerajaan Amerika terpaksa memperkenalkan konsep ‘Too Big To Fail’ bagi menjustifikasikan ‘bantuan untuk menyelamatkan’ atau ‘bailout’ kerajaan Amerika ke atas gergasi-gergasi besar ini yang ditanggapi sebagai terlalu penting untuk negara, untuk mengelakkan mereka ini ‘gulung tikar’ bahkan sebaliknya mesti dibantu dan diselamatkan.

Dengan kata lain, sementara penggabungan membentuk bank mega itu ada kemunasabahannya, namun tetap faktor tadbir-urus korporat institusi kewangan atau perbankan dengan amalan terbaik atau ‘best practice’, telus dan mengamalkan keamanahan serta kebertanggungjawapan itu adalah jauh lebih penting dan penentu kritikal dalam meningkatkan prestasi dan daya-saing sesebuah entiti bisnes.

Masa akan menentukan siapa pihak yang mengaut keuntungan lumayan daripada penggabungan ini.- HARAKAHDAILY, 12/8/2014
______________________
Penulis adalah Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat

No comments:

Post a Comment