Wednesday, August 13, 2014

Zakat juga perlu diaudit secara terbuka


FAHMI ZAINOL | .
KEWAJIPAN membayar zakat bagi yang layak sudah termaktub dalam rukun Islam iaitu rukun yang ke empat dan zakat tersebut layak diterima oleh lapan golongan Asnaf seperti yang telah disyariatkan oleh Islam. Berdasarkan stastitik negara, juga menunjukkan bahawa bangsa Melayu yang menganut agama islam masih mendominasi kemiskinan di negara kita berbanding kaum-kaum lain. Lihat saja golongan gelandangan, golongan meminta sedekah terutama di kota raya, rata-ratanya ialah bangsa Melayu dan beragama Islam. Persoalannya, bagaimanakah pengagihan wang zakat yang disalurkan kepada mereka yang selayaknya? PMUM berpendirian sudah tiba masanya zakat perlu diauditkan. Antara sebab dan musababnya ialah?

1.  Integriti
Rakyat Malaysia memberikan keyakinan mereka terhadap badan zakat untuk menguruskan duit kutipan zakat. Namun, sering terpampang di dada-dada akhbar bahawa masih ramai golongan asnaf yang belum menerima hak mereka. Hal ini terbukti daripada laman web kerajaan menyatakan golongan miskin tegar dalam masyarakat Melayu paling tinggi iaitu 1.1 peratus berbanding masyarakat Cina dan India iaitu 0.1 peratus dan 0.3 peratus. Pada tahun 2012 sahaja, orang Melayu telah mendominasi tahap kemiskinan negara sebanyak 64.8 peratus dan selebihnya adalah kaum lain.

Hal ini menimbulkan persoalan dalam kalangan golongan muslim terutamanya terhadap ketelusan badan zakat dalam menguruskan pengagihan wang zakat. Timbul juga pelbagai persoalan antaranya tentang kelayakan yang perlu ada pada badan yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ini, berapakah jumlah wang zakat yang sepatutnya disalurkan? Siapakah yang sepatutnya layak menerima wang zakat? Bagaimanakah proses golongan asnaf dalam menerima wang zakat tersebut? Dan sebagainya. Sesungguhnya Islam melarang penganutnya daripada melakukan amalan yang tidak bermoral kerana ini akan menjadi punca kepada penindasan rakyat miskin.

2. Ketelusan
Dalam proses yang dijalankan oleh pihak bertanggungjawab, perlu adanya dokumen rasmi dan dokumen ini perlu disemak serta diuar-uarkan kepada masyarakat umum.  Proses ketelusan  ini perlu dilaksanakan agar tidak timbul lagi persoalan dalam kalangan rakyat dan persepsi buruk kepada badan zakat. Proses ini juga melambangkan ketelusan pihak yang bertanggungjawab menguruskan urusan zakat ini.

Kesimpulan
PMUM mencadangkan, kutipan wang zakat di negara kita perlu diaudit oleh pihak yang  berintegeriti sebagai contoh Jabatan Audit Negara. Cadangan yang diberikan oleh pihak PMUM ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya orang Islam sendiri, di samping  memastikan ketulusan dan integiriti dapat diwujudkan dalam organisasi yang menguruskan pungutan zakat ini. –HARAKAHDAILY 21/7/2014

Fahmi Zainol ialah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment