• HSBC HSBC

UNITED KINGDOM - Bank terkemuka dunia, HSBC Group dilaporkan telah mengeluarkan surat menutup akaun bank beberapa pertubuhan Muslim dan orang perseorangan dipercayai kerana membantah serangan kejam zionis Israel.

Menurut laporan BBC, HSBC telah mengeluarkan surat kepada Finsbury Park Mosque dan organisasi Muslim lain di UK memaklumkan bahawa akaun mereka akan ditutup dengan alasan untuk kawalan pengurusan risiko (risk appetite).

Finsbury Park Mosque menerima surat dari HSBC 22 Julai lalu bagi memaklumkan penutupan akaun secara rasmi pada 22 September depan.

“Bank itu langsung tidak menghubungi kami terlebih dahulu. Tidak beri kami peluang untuk mengatasi kebimbangan mereka.

“Bagi kami ini sangat menghairankan. Kami badan amal yang beroperasi di UK dan semua operasi kami di sini dan kami tidak memindahkan apa-apa wang daripada UK. Semua operasi dibiayai dana dari dalam UK,” kata Pengerusi Masjid, Mohammed Kozbar.

Menurut beliau, tindakan HSBC itu bakal meninggalkan kesan negatif kepada bank tersebut.

“Mereka telah meletakkan kami dalam situasi yang sangat sukar. Ini satu-satunya akaun yang kami ada.

“Kami pasti komuniti akan kecewa dan mungkin menimbangkan untuk menutup akaun mereka dengan HSBC jika pihak bank tidak kembali membuka akaun kami atau setidak-tidaknya memberikan penjelasan,” katanya.