Friday, August 1, 2014

Konflik etnik ragut 100 nyawa


Pertempuran di wilayah Xinjiang yang sebahagian besarnya didiami etnik Uighur Muslim menyebabkan hampir 100 orang maut atau cedera, kata sebuah pertubuhan semalam.

Ketika pihak berkuasa China mendakwa kejadian itu ada kaitan dengan “serangan pengganas” Kongres Uighur Dunia berkata, ia tercetus apabila etnik berkenaan bangkit menentang dasar pemerintahan melampau Beijing.

Jurucakap pertubuhan itu, Dilxat Raxit berkata, pertentangan bersenjata itu menyebabkan kematian atau kecederaan di kedua-dua pihak.



Sebelum itu Dilxat berkata lebih 20 orang Uighur terbunuh dan 10 cedera selain 13 anggota keselamatan China maut atau cedera dalam kejadian berkenaan.

“Seramai 67 orang lagi ditahan,” katanya.

Agensi berita rasmi China Xinhua pula melaporkan puluhan orang awam dan “penjenayah” terbunuh atau cedera dalam serangan sekumpulan orang bersenjata pedang dan kapak.

“Polis menembak beberapa puluh orang anggota penjenayah,” lapornya.


Xinhua bagaimanapun tidak menyatakan pecahan kematian akibat kejadian Isnin lalu itu.

Laman sesawang kerajaan Xinjiang pula mendakwa beberapa puluh orang daripada etnik Uighur dan Han maut atau cedera dalam insiden berkenaan.


Han adalah etnik terbesar di China dan mereka berhijrah ke Xinjiang sejak beberapa dekad lalu sehingga mengubah nisbah penduduk di wilayah berkenaan.

Keganasan itu berlaku di daerah Shache - atau Yarkand menurut bahasa Uighur - berhampiran padang pasir Taklamakan di barat Xinjiang.

Xinhua mendakwa kejadian itu dirancang lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

No comments:

Post a Comment