Freetown, Sierra Leone: Seorang doktor terkenal yang menggadai nyawanya merawat puluhan pesakit ebola meninggal dunia akibat wabak itu semalam.
Dr Sheik Umar Khan yang mendapat sanjungan antarabangsa kerana bertugas merawat lebih 100 pesakit di Sierra Leone disahkan meninggal dunia oleh pegawai kementerian kesihatan di negara itu.
Dia sebelum ini dikuarantin di sebuah hospital amal di utara Sierra Leone selepas dikesan dijangkiti wabak berkenaan.
Petugas kesihatan memang sangat terdedah kepada jangkitan ebola yang boleh berlaku melalui cairan seperti air ludah, peluh, darah dan air kencing.
Dua petugas kesihatan Amerika kini dirawat di hospital selepas dijangkiti di Liberia.
Sheik Umar, 39, dianggap wira negara oleh Kementerian Kesihatan Sierra Leone dan menghembus nafas terakhirnya tengah hari kelmarin - kurang dari seminggu selepas dia dikesan dijangkiti ebola.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia, virus ebola dipercayai sudah meragut nyawa 672 orang di Guinea, Liberia dan Sierra Leone sejak wabak itu bermula Februari lalu.
Setakat ini belum diketahui apa yang mampu mengubati penyakit berkenaan yang boleh menyebabkan pelbagai simptom termasuk muntah, cirit-birit dan pendarahan - sama ada dalaman atau luaran.
Sementara itu, sebuah syarikat penerbangan dari Afrika Barat, Asky menggantung penerbangan keluar dan masuk dari Sierra Leone serta Liberia sebagai langkah berjaga-jaga.
Syarikat penerbangan terbesar Nigeria, Arik Air juga mengambil langkah sama.
- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31
No comments:
Post a Comment