• Mufti Menk berbaju Melayu

SHAH ALAM - Imam dari Masjid terbesar di Harare, Zimbabwe, Mufti Ismail Musa Menk atau lebih dikenali sebagai Mufti Menk tampil berbeza pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan mengenakan busana baju Melayu lengkap dengan samping dan songkok.

Mufti Menk berkongsi gambar hari rayanya yang diraikan bersama keluarga Melayu di Facebook pada 29 Julai lalu dengan kapsyen berbunyi, "Aidilfitri di Malaysia disambut dengan sentuhan Melayu. Baju Melayu. Pengalaman baru dan mengujakan."

Penampilannya itu mendapat pujian daripada pengikut-pengikutnya di laman sosial.

Malah rata-rata pengikut melahirkan keterujaan melihat imej berbeza Mufti Menk yang sebelum ini sering tampil berjubah.

"Pertama kali saya melihat Mufti tanpa 'trademark' jubah putih dan kain menutup kepala," kata Haseef Ahmed.

"Pertama kali saya melihat anda dalam pakaian yang berlainan," kata Navid Mr-Kaka Kazemyar.

"Masha-ALLAH...anda kelihatan hebat dengan persalinan dari Malaysia," tulis Fathima Muhmmad.

Melalui laman mikro Twitternya, Mufti Menk berkongsi rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan Malaysia.

"Sedih kerana meninggalkan Malaysia selepas sebulan (di sini) sepanjang bulan Ramadan tapi saya gembira dapat kembali ke kampung halaman, Zimbabwe," tulisnya, semalam.