Friday, August 1, 2014

Rombongan Aidilfitri ditembak Abu Sayyaf


Seorang budak berusia 3 tahun dan bapanya adalah antara 23 korban keganasan di selatan Filipina semalam selepas militan Abu Sayyaf melepaskan tembakan ke arah rombongan orang awam sedang dalam perjalanan menziarahi keluarga masing-masing sempena Aidilfitri.

Jurucakap tentera, Brig Jen Martin Pinto berkata, kira-kira 40 hingga 50 anggota militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah mangsa.

“Mereka dalam perjalanan menemui sanak saudara kerana meraikan hari raya,” katanya.

Serangan itu juga, kata Pinto, menyebabkan sembilan yang lain cedera termasuk enam masih dirawat di hospital.



Kata Pinto, kejadian berlaku di bandar Talipao yang didiami ramai masyarakat Sulu Muslim dan hutannya menjadi kubu penting militan Abu Sayyaf.

Menurut Pinto operasi memburu kumpulan berkenaan masih diteruskan namun setakat ini tiada sebarang jejak ditemui.

“Ia bukan perkara yang mudah kerana kawasan berkenaan cukup luas,” katanya.

Kerajaan Filipina pula dalam kenyataannya memberitahu pasukan tentera meneruskan kemaraan dan akan mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Laporan terkini tentera menyebut 10 anggota sukarelawan keselamatan berada bersama penduduk kampung ketika serangan, namun menurut Pinto maklumat itu masih belum disahkan.

Ia termasuk laporan yang menyatakan sebanyak enam orang terkorban dalam serangan adalah anggota Pasukan Bertindak Menjaga Keamanan.

Motif serangan itu masih belum diketahui.

Menurut pegawai bertugas ia mungkin sebahagian keganasan akibat peperangan antara puak atau tindakan balas dendam militan terhadap sukarelawan keselamatan yang membantu tentera negara itu dalam beberapa pertempuran yang menyaksikan anggota Abu Sayyaf terbunuh sebelum ini.

Timbalan Gabenor Sulu, Abdusakur Tan mengecam serangan itu dan mendakwa ada tali barut yang bekerjasama dengan kumpulan militan.

“Perkara ini sangat bertentangan dengan Islam.


Selepas menjalani ibadah di bulan Ramadan, bBinatang pun tidak sanggup melakukan perkara seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/31

No comments:

Post a Comment