Friday, August 29, 2014

Ramli, Alyah dah nikah di Batam



Ramli


PUCHONG - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) semalam menyerbu kediaman Datuk Ramli MS di Bandar Kinrara di sini bagi menyiasat status hubungan komposer terkenal itu dengan penyanyi Alyah selepas menerima aduan orang awam bahawa mereka sering dilihat berdua di rumah tersebut.
Ketika pemeriksaan dilakukan oleh sembilan pegawai penguat kuasa JAIS kira-kira pukul 7.50 pagi semalam, Ramli atau nama sebenarnya Ramli Mohamed Salleh, 52, dan Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 33, berada dalam banglo berkenaan.
Menurut sumber, hasil pemeriksaan mendapati, pasangan tersebut dipercayai telah berkahwin sejak lebih setahun lalu, namun mereka belum mendaftar pernikahan tersebut di negara ini.
"Pasangan itu dijangka memberi kenyataan serta bukti bahawa mereka telah bernikah dekat Batam, Indonesia pada tahun lalu bagi tujuan pendaftaran pernikahan yang belum dilakukan di negara ini," kata sumber itu ketika dihubungi.
Tinjauan Kosmo! di banglo berkenaan semalam mendapati, sebuah kenderaan utiliti sukan jenis Mitsubishi dipercayai milik Alyah berada di hadapan rumah tersebut.

Alyah


Sementara itu, Pengarah JAIS, Ahmad Zaharin Mohd. Saad dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Bahagian Penguat Kuasa jabatan itu telah menjalankan siasatan di rumah Ramli berhubung aduan orang awam yang curiga mengenai status hubungan mereka.
Katanya, pasangan itu dijangka menyerahkan dokumen asal pernikahan mereka di pejabat JAIS pada Selasa depan untuk penelitian, semakan dan siasatan lanjut dari sudut undang-undang serta hukum syarak.
"Siasatan di rumah Ramli berjalan lancar berikutan pihak yang terlibat memberi kerjasama yang baik kepada pegawai penguat kuasa agama yang menjalankan siasatan.
"Tiada sebarang rampasan dibuat di lokasi siasatan," kata Ahmad Zaharin.
Ramli yang merupakan warga Singapura sebelum ini tidak pernah mendedahkan mengenai status hubungan mereka apabila ditanya mengenai gosip perkahwinannya dengan Alyah.
Dalam pada itu, Alyah pula tidak banyak bercerita mengenai hubungan mereka tetapi meminta pihak media bertanyakan sendiri kepada Ramli untuk sebarang penjelasan mengenai gosip perkahwinan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0829&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3BlryXDww 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment