Friday, August 29, 2014

Tidak sesuai naikkan harga minyak - Susilo bantah kenaikan harga minyak


Susilo Bambang Yudhoyono (kiri) bertemu Jokowi di Nusa Dua, Bali, kelmarin. - AFP
JAKARTA 28 Ogos - Hasrat bakal Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi untuk segera menaikkan harga minyak sebagaimana satu daripada manifesto pilihan raya beliau terjejas selepas penyandang jawatan itu, Susilo Bambang Yudhoyono menentang langkah tersebut.
Menurut Susilo, langkah mengurangkan subsidi bahan bakar itu tidak sesuai dilaksanakan ketika ini walaupun kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira AS$20 bilion (RM 62.9 bilion setahun) untuk perkara tersebut.
Perkara itu dibincangkan dalam pertemuan secara tertutup selama dua jam antara dua pemimpin berkenaan di pulau peranginan Bali, semalam selepas Susilo sebelum ini melaporkan beliau sedia membantu kerajaan pimpinan Jokowi.
"Malam tadi, saya secara khusus meminta (Susilo) supaya mengecilkan defisit bajet dengan menaikkan harga minyak.
"Beliau memaklumkan bahawa keadaan ketika ini tidak sesuai untuk kenaikan itu (harga minyak)," kata Jokowi sebagaimana dipetik agensi berita Antara.
Satu daripada agenda utama Jokowi sejurus dilantik sebagai Presiden Indonesia pada 20 September ini adalah menangani subsidi bahan api yang menjejaskan bajet kerajaan dan mengancam keyakinan pelabur dengan meningkatkan lagi defisit akaun semasa.
Dua sumber yang mengetahui tentang perkara itu memberitahu Reuters bulan lalu bahawa Jokowi dan Susilo telah membincangkan langkah menaikkan harga minyak seawal bulan depan.
Kenaikan harga minyak merupakan satu isu sensitif yang mampu menimbulkan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kerajaan pimpinan Jokowi, dalam tempoh beberapa minggu beliau memegang jawatan tersebut.
Sebarang kenaikan harga minyak bakal memberi kesan buruk kepada hampir 40 peratus rakyat Indonesia yang kebanyakannya hidup di bawah atau berhampiran paras kemiskinan dan menurut penasihat Jokowi, penduduk miskin yang terjejas bakal diberikan pampasan sewajarnya.
"Saya sedia untuk menjadi tidak popular, namun kami perlu tahu bahawa dengan mengurangkan subsidi, bajet itu boleh disalurkan kepada perniagaan yang produktif," kata Jokowi menambah, beliau mahu memindahkan perbelanjaan subsidi minyak kepada sektor seperti pendidikan, kesihatan dan pertanian. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140829/lu_04/Tidak-sesuai-naikkan-harga-minyak---Susilo-bantah-kenaikan-harga-minyak#ixzz3BjZLz4Sp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment