Friday, August 29, 2014

Rusia didakwa bina pusat ketenteraan di Ukraine


Batalion sukarelawan tentera Ukraine, Azov menaiki sebuah kereta kebal ketika dalam perjalanan ke bandar Novoazovsk, wilayah Donetsk, Ukraine, baru-baru ini. - AFP
STAROBESHEVE, Ukraine 28 Ogos - Kumpulan pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine dilihat berjaya menawan kawasan yang dikuasai oleh tentera kerajaan, ketika pasukan perisik Barat mendakwa tentera Rusia membina pusat ketenteraan mereka di negara ini.
Kejayaan pemberontak menawan bandar Starobesheve itu dicapai selepas seminggu tentera kerajaan melakukan serangan ke atas benteng pertahanan mereka, sekali gus mendorong Kiev meminta bantuan daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Seorang wartawan AFP berkata, kelibat tentera kerajaan tidak kelihatan di selatan bandar Donetsk, dengan sekatan jalan sepanjang 100 kilometer sehingga ke Laut Azov dikendalikan oleh pemberontak pro-Rusia.
Seorang komander sukarelawan memuat naik status di laman sosial Facebook mendakwa, tentera kerajaan kini sedang dikepung di hab pengangkutan Ilovaysk dan bantuan ketenteraan amat diperlukan.
Tentera Ukraine mengaku bahawa 'pemberontak dengan bantuan tentera Rusia' berjaya menawan Starobesheve, begitu juga kawasan perkampungan berhampiran Novoazovsk.
Ketua Batalion Donbass, Komander Semen Semenchenko dalam laman sosial Facebooknya mengecam tindakan kerajaan yang gagal menyalurkan bantuan kepada tentera yang terperangkap di Ilovaysk.
"Tentera kami dikepung oleh kumpulan pemberontak, kehabisan peluru dan tidak mampu memindahkan mereka yang cedera. Dua rejimen tentera udara Rusia sudah mendarat dengan kereta kebal memenuhi bandar ini," kata Semenchenko.
Keadaan yang semakin meruncing itu berlaku hanya selepas beberapa jam Presiden Ukraine, Petro Poroshenko bertemu rakan sejawatnya dari Rusia, Presiden Vladimir Putin dalam perbincangan yang gagal membuahkan sebarang hasil.
Semalam, kerajaan Ukraine mendakwa, batalion tentera Rusia sedang membina ibu pejabat tentera berhampiran Kampung Pobeda, kira-kira 50 kilometer di tenggara Donetsk. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140829/lu_05/Rusia-didakwa-bina-pusat-ketenteraan-di-Ukraine#ixzz3BjZa1kdk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment