MH17KUALA LUMPUR - Pasukan Siasatan Khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak dapat memasuki kawasan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 di Donestk, Ukraine berikutan insiden tembak-menembak meriam antara tentera Ukraine dan puak pemisah.
  
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan 21 pegawai itu, yang tiba di Donestk pada Isnin, masih belum dapat memasuki kawasan nahas itu untuk memulakan kerja-kerja penggeledahan bagi mencari bukti nahas.
  
"Walaupun pasukan PDRM berjaya tiba di kawasan nahas, namun, setakat ini kerja-kerja penggeledahan dan mencari bukti kes masih belum dapat dimulakan kerana kejadian tembak-menembak meriam sedang berlaku antara tentera Ukraine dan puak pemisah,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
   
Beliau berkata bagi tujuan keselamatan, puak pemisah tidak membenarkan Pasukan Siasatan Khas PDRM menjalankan kerja-kerja penggeledahan buat masa ini.
  
"Pasukan Malaysia hanya dapat berlindung di kawasan berhampiran lokasi nahas di sekitar tepi jalan, menunggu sehingga keadaan lebih stabil dan selamat," katanya.

Ahmad Zahid berkata Pasukan PDRM itu  memaklumkan bahawa sepanjang perjalanan ke lokasi nahas, mereka dikawal rapi oleh pihak berkuasa.
  
"Mereka juga mendapati banyak kemusnahan akibat perang di sekeliling kawasan tersebut," katanya.
  
Penerbangan MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lepas.
  
Pesawat Boeing 777-200 itu yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - dipercayai ditembak jatuh namun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan perbuatan kejam itu.
  
Sebanyak 43 warganegara Malaysia adalah antara penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu. - Bernama