Ezany atau nama sebenarnya Mohd Zani @ Zohri Mohd Nizariff, 41, berkata ia kerana dia sudah memfailkan permohonan sabitan nusyuz terhadap isterinya pada 22 Julai lalu, selepas wanita itu keluar dari rumah mereka di Seri Kembangan pada 17 Julai lalu.

Pelakon yang juga usahawan belacan dan kicap itu memaklumkan dia turut memfailkan dua lagi permohonan, iaitu hak jagaan sementara dan hak jagaan kekal terhadap dua anaknya, dengan kedua-dua kes akan disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 dan 27 Ogos ini.

Selepas mendengar keterangan kedua belah pihak, Hakim Syarie Mohd Nurulazhar Mohd Tohar, memerintahkan Ezany dan Lizda Nuryanti, 32, untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi berbincang mengenai masalah rumah tangga mereka dan menetapkan 3 September depan untuk sebutan semula kes.


Diarah fail pembelaan

Beliau turut memerintahkan Lizda Nuryanti untuk memfailkan pembelaan bagi permohonan sabitan nusyuz, jika perlu.
Terdahulu, pada prosiding semalam, Liza Nuryanti memaklumkan kepada mahkamah dia memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 dan mereka sudah tinggal berasingan sejak 19 hari lalu.

Kemelut rumah tangga pasangan itu mula diperkatakan selepas Ezany mengakui isterinya memfailkan perceraian. dan disusuli dengan laporan polis berhubung
dakwaan wanita itu dilarikan oleh seorang lelaki dikenali pada 17 Julai lalu.

Sementara itu, Ezany ketika ditemui sejurus prosiding itu selesai berkata, dia mengambil keputusan untuk meneruskan kes nusyuz selepas dinasihati peguam.

“Masalah rumah tangga kami sudah lama, sejak awal perkahwinan lagi. Selagi boleh bersabar, saya bersabarlah... tetapi sampai satu tahap saya tidak boleh terima dan dia (isteri) failkan perceraian tak apa lah, saya ikut saja,” katanya.