SHAH ALAM - Pemuda Umno menggesa Jabatan Peguam Negara serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun laman sosial Kelvin Yip yang mempersendakan Islam baru-baru ini.

Ahli Exconya, Arman Azha Abu Hanifah berkata, beliau hairan mengapa kedua-dua institusi ini masih lagi tidak mengambil tindakan terhadap pemilik akaun itu sedangkan sudah banyak laporan polis berkaitan perkara itu sudah dibuat di seluruh negara.

“Kita lihat apa yang berlaku kepada Siti Fairrah Ashykin Kamaruddin. PDRM pantas mengambil tindakan terhadapnya sebaik sahaja orang awam memuat naik video amukannya serta merosakkan kereta Sim Siak Heong di laman sosial,” katanya selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau tidak mahu berlaku ‘double standard’ dalam mengambil tindakan ke atas individu itu.
PDR
Menurut Arman Azha, sudah tiba masanya kedua-dua institusi ini mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menghina mana-mana agama di laman sosial.

“Jabatan Peguam Negara dan PDRM seharusnya tidak duduk diam melihat perkara yang sama berlaku. Kita mahu tindakan tegas dikenakan kepada mana-mana individu, tidak kira latar belakang agama atau politik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor Zainuri Zakaria berkata, beliau melihat menghina agama di dalam laman sosial sudah menjadi satu trend.

“Apabila mereka sudah menghina agama, senang bagi mereka untuk memohon maaf,” katanya.

Beliau mahu individu itu dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal ke atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Katanya, Pemuda Umno akan menghantar memorandum kepada Jabatan Peguam Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai bantahan terhadap perkara ini pada hari ini.

“Sekiranya Jabatan Peguam Negara tidak mengambil tindakan terhadapnya, kami minta kerajaan supaya merombak ahli jawatankuasa di dalam jabatan tersebut,” katanya.