NAMA Igor Strelkov mula menjadi sebutan sejak berlakunya tragedi malang pesawat Malaysia Airline MH17 bulan lalu.

Media-media di Eropah  khususnya di Ukraine secara terang-terangan mengaitkan beliau terlibat secara langsung dalam kejadian pengeboman pesawat MH17 di Donetsk, timur Ukraine.

Dilabelkan sebagai pemberontak pro-Rusia, tuduhan itu dilemparkan selepas media dan pihak keselamatan Ukraine yakin bahawa beliau adalah individu yang membuat pakatan tentang siri pengeboman dalam kejadian itu menerusi rakaman transkrip yang tersebar luas.

Menerusi rakaman suara itu, anggota penyiasat yakin bahawa suara yang tertawa riang selepas pesawat MH17 jatuh ditembak peluru berpandu BUk itu adalah suaranya.

Agensi berita BBC sebelum ini melaporkan, nama sebenar Igor Strelkov adalah Igor Girkin dan dilahirkan di Moscow pada 1970.

Beliau sebelum ini dikatakan bekas askar berpangkat kolonel yang paling handal dalam strategi perang. Namun, dalam satu emel diterima Unit Perisikan Ukrine memaklumkan, nama Strelkov masih tercatat sebagai pegawai bertugas sehingga Mac 2014.

Sumber media Rusia pula melaporkan, Strelkov secara rasminya sudah bersara dari  Persekutuan Perisikan Rusia (FSB) sejak awal tahun lalu. Beliau juga sebelum ini pernah dilaporkan bertugas di Direktorat Pemberantasan Keganasan Antarabangsa dan dikatakan memiliki kehebatan dalam dunia ketenteraan yang luar biasa khususnya dalam teknik pertempuran.

Media pro-Rusia juga mendedahkan sebahagian besar karier Strelkov banyak dihabiskan dalam dunia perisikan iaitu bersama FSB dan Badan Perisikan tentera Rusia (GRU) sehingga beliau dikenali sebagai wira perisikan di FSB.

Ketika konflik Ukraine dan Rusia mula memuncak Januari lalu hingga menyebabkan pemisahan Crimea dan Moscow, Strelkov dikatakan memainkan peranan yang penting ketika itu. Beliau adalah individu bertanggungjawab membentuk kelompok tentera yang terdiri daripada askar yang pernah bertempur dalam operasi ketenteraan di Chechnya, Yugoslavia, Iraq dan Syria.

Ketika dalam satu wawancara dengan Komsomolskaya Pravda, Vyacheslav Ponomarev mengakui Strelkov merupakan pemimpin pemberontak pro-Rusia paling digeruni.

“Tiada pemimpin dunia yang berani untuk berbincang dengan beliau. Beliau handal dalam selok belok ketenteraan. Namun, sehingga kini, kami kagum dengan keberanian pemimpin negara Asia yang boleh berbincang dengan puak pemberontak ini ketika nahas MH17.

“Puak ini sangat licik dan pandai melakukan tipu helah hingga boleh mengaburi mata Barat. Tetapi dalam perihal nahas MH17, pemimpin utama puak itu, Alexandre Borodai masih boleh berdiplomasi dengan Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Beliau menambah, keberanian ini adalah satu tamparan hebat buat Barat  terutamanya Amerika Syarikat dan negara Eropah lain.

Dilaporkan juga, sebelum krisis Ukraine, Strelkov pernah terlibat  dalam konflik di Yugoslavia. Campur tangan beliau ketika itu menyebabkan Balkan berpecah menjadi beberapa negara kecil pada awal 1990-an.

Selain itu, Strelkov juga pernah terlibat dalam kancah peperangan di Chechnya 1999-2005 namun kecekapan beliau Chechnya akhirnya gagal berpisah dari Rusia.

Namun, sehingga kini, identiti sebenar Strelkov masih menjadi tanda tanya. Beliau dikatakan amat susah untuk didekati ataupun mengeluarkan apa juga kenyataan. Tetapi segala tindak tanduknya tetap dikagumi dan sentiasa membuatkan negara kuasa besar dunia tunduk dan takut.

Keakraban beliau dengan Perdana Menteri Rusia, Vilmir Putin juga memberikan beliau kekebalan sebagai individu yang tidak boleh ‘disentuh’ oleh mana-mana negara luar.


Info

- Pakar teori konspirasi dan mempunyai pengetahuan luas tentang dunia ketenteraan.
- Menggunakan nama samaran Igor Strelkov (dalam bahasa Rusia bererti lelaki bersenjata)
- Bekas askar era Kesatuan Soviet
- Pernah bertempur ketika perang di Siberia, Checnya dan Transnistria.
- Hubungan beliau dengan Rusia terus menimbulkan misteri.
- Pegawai Kanan Perisikan Ukraine melaporkan Girkin berasal dari Moscow dan merupakan seorang ejen ‘top-level’ dalam perbagai operasi ketenteraan Rusia.
- Girkin merupakan individu anti-Barat.
- Berhasrat ingin menghidupkan kembali kerajaan Rusia dengan memusnahkan kuasa Barat.
- Beliau adalah individu paling dibenci oleh masyarakat Ukraine dan Kesatuan Eropah kerana pemimpin Eropah menuduh Girkin adalah dalang utama di sebalik pelbagai pertempuran di timur Ukraine.