Tuesday, August 5, 2014

Waris bakal terima RM160,000


Kuala Lumpur: Waris terdekat kepada mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 dijangka menerima bayaran pampasan awal AS$50,000 atau RM160,000 dalam tempoh terdekat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, bayaran pampasan awal itu akan sediakan pihak MAS.



“Saya difahamkan bayaran kepada waris dapat dibuat dalam masa terdekat memandangkan kita sudah sedia maklum apa yang berlaku kepada pesawat itu (MH17),” katanya.

Rohani berkata, sebelum ini 25 anggota keluarga mangsa tragedi MH17 menerima saguhati AS$5,000 atau RM16,000 secara sekali gus daripada pihak MAS untuk membantu dalam soal perbelanjaan harian yang mungkin diperlukan.

Penerbangan MH17 membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur sebelum ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai lalu.

Rohani berkata, seramai 70 peratus daripada waris penumpang warga negara Malaysia memaklumkan kepada pihaknya berhubung pengurusan mayat mangsa nahas MH17 apabila tiba di tanah air.


“Baki 30 peratus lagi waris penumpang belum membuat keputusan pengurusan mayat dan kita tidak akan desak mereka kerana kita tahu kesulitan dihadapi.

“Selepas beberapa interaksi antara pegawai dengan waris, persoalan serta harapan paling tinggi waris adalah bila mayat itu akan dapat dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Beliau dimaklumkan pasukan forensik Malaysia di Amsterdam bahawa padanan DNA pada mayat mangsa dilakukan sejak dua hari lalu didapati banyak membabitkan mangsa warga Belanda.

“Tapi, kita tak boleh mengetepikan kemungkinan dalam masa terdekat ada warga Malaysia yang dapat dikenal pasti.


Keluarga mangsa minta kita maklumkan sebaik saja tahu mengenai perkara itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

No comments:

Post a Comment