Thursday, September 18, 2014

4,100 jemaah haji tanpa permit dikenakan tindakan


Pihak berkuasa Arab Saudi mula mengambil tindakan ke atas kira-kira 4,100 orang jemaah yang menjalankan ibadah haji tanpa permit. - AGENSI
JEDDAH 17 Sept. - Pihak berkuasa Arab Saudi mula mengambil tindakan ke atas 4,100 orang jemaah yang menjalankan ibadah haji tanpa permit.
Portal berita saudigazette.com.sa melaporkan, komander pasukan pasport untuk haji, Major Jeneral Ayed Al-Harbi berkata, nama jemaah terbabit telah dicatat dalam senarai yang bakal dikenakan hukuman ekoran kesalahan tersebut tidak lama lagi.
Sebelum ini, pihak berkuasa Arab Saudi memberi amaran sesiapa yang menjalankan ibadah haji tanpa permit akan dihantar pulang dan dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.
Selain itu, pemilik kenderaan yang bersalah menyeludup jemaah haji ke tanah suci Mekah juga akan ditahan dan didenda, manakala kenderaan merekabakal disita.
Menurut Ayed, sejumlah 525,558 jemaah haji telah tiba di Arab Saudi untuk menjalani rukun Islam kelima itu, manakala sebilangan jemaah haji yang didapati menggunakan visa palsu atau melanggar arahan telah dihantar pulang.
Sebanyak 80 bangunan kediaman turut disenarai hitam oleh jawatankuasa penginapan jemaah haji selepas didapati kemudahan yang mereka sediakan tidak sesuai untuk para jemaah.
Dalam perkembangan sama, Menteri Dalam Negeri, Putera Muhammad Bin Naif mempengerusikan satu mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Haji, semalam bagi membincangkan laporan berhubung projek pembangunan di puncak Bukit Mina untuk menyediakan lebih banyak ruang kepada jemaah haji yang melawat tempat itu.
Sementara itu, akhbar Al-Madinah Arabic melaporkan, peniaga di Jeddah didapati mengeksploitasi penduduk Arab Saudi yang mahu mendaftar untuk pakej kos haji rendah dengan meningkatkan kadar pakej itu sebanyak 40 peratus.
Menurut sumber, ini berikutan jumlah jemaah haji yang menggunakan khidmat syarikat tersebut sangat rendah, menyebabkan mereka mengenakan caj yang lebih tinggi daripada biasa.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140918/lu_04/4100-jemaah-haji-tanpa-permit-dikenakan-tindakan#ixzz3DcDscmzn
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment