Thursday, September 18, 2014

Pemimpin Scotland buat rayuan terakhir


MENTERI Pertama Scotland, Alex Salmond membuat isyarat bagus sebelum meninggalkan Lapangan Terbang Edinburgh di Scotland pada 15 September lalu.- AFP


EDINBURGH - Menteri Pertama Scotland, Alex Salmond semalam membuat rayuan terakhir kepada penduduk negeri itu agar menyokong kemerdekaan, sehari sebelum mereka mengundi sama ada mahu memutuskan penyatuan selama 300 tahun dengan United Kingdom (UK).
"Bangunlah pagi Jumaat ini (esok) pada hari pertama di sebuah negara (baharu) yang lebih baik (Scotland). Bangun dan ketahui andalah yang menjadikan ini satu realiti," kata pemimpin tersebut dalam sepucuk surat peribadi kepada para pengundi.
Dalam suratnya, Salmond turut meminta pengundi agar yakin pada diri sendiri dan menolak segala kenyataan bersifat terdesak dan tidak munasabah dari London bertujuan untuk menakutkan mereka.
"Setiap negara tentunya akan membuat silap. Scotland juga akan berdepan dengan pelbagai cabaran getir tetapi siapakah yang paling layak untuk menentukan masa depan kita jika bukan diri kita sendiri," katanya.
Terdahulu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan keputusan yang hampir setara sekali gus menjadikan referendum hari ini agak sukar untuk diramal.
Satu kaji selidik terbaharu merangkumi enam tinjauan pendapat oleh profesor Universiti Strathclyde, John Curtice pula mendapati 51 peratus penduduk Scotland menolak kemerdekaan manakala 49 peratus lagi menyokong.
Hampir 4.3 juta penduduk di Scotland berdaftar akan mengundi pada referendum hari ini.
Mereka perlu menjawab ya atau tidak pada soalan "Adakah Scotland perlu merdeka?". - dpa


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0918&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3DcM80e00 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment