Monday, September 8, 2014

Anak bertindak saman ibu bapa


Kuang Zhengxuan menyaman ibu bapanya yang enggan menyara hidupnya di wilayah Hunan. - AGENSI
HUNAN 7 Sept. - Seorang lelaki di sini menjadi perhatian media sosial apabila dia bertindak menyaman ibu bapanya yang didakwa tidak mahu menyara hidupnya.
Lelaki berkenaan, Kuang Zhengxuan, 29, turut digelar 'man-baby' berikutan perangainya yang terlalu manja dan menganggap tanggungjawab ibu bapanya adalah untuk menjaganya walau pun dia telah dewasa, , lapor sumber, odditycentral.com, baru-baru ini.
Zhengxuan dilaporkan berhenti sekolah pada usia muda dan mendalami kemahiran pertukangan kayu serta dandanan rambut, namun selepas beberapa lama bekerja, dia mendakwa dirinya sering dituduh mencuri dan dipukul.
Oleh itu, dia membuat kesimpulan bahawa dia tidak mempunyai kemahiran yang boleh memberinya peluang pekerjaan.
Menurut laporan media, Zhengxuan merupakan seorang yang pemalas dan banyak menghabiskan masa bermain telefon pintarnya sehingga menyebabkan ibu bapanya menghalau Zhengxuan dari rumah mereka supaya belajar hidup berdikari.
Bapanya berkata, mustahil baginya untuk menyara hidup anaknya itu.
"Setiap kali dia hubungi kami, dia pasti meminta wang," katanya.
Namun, Zhengxuan mendakwa ibu bapanya mempunyai kemahiran dan pekerjaan yang membolehkan mereka menyara dirinya.
Zhengxuan kini bekerja sambilan sebagai model potret di sebuah sekolah seni, namun baginya pekerjaan itu memenatkan dan tidak stabil untuk menyara hidupnya.
Pakar percaya, simptom terlalu manja merupakan kesan polisi China yang hanya membenarkan sebuah keluarga mempunyai seorang anak, menyebabkan generasi muda negara ini enggan berdikari.


Artikel Utusan Melayu (M) Bhd 
 

No comments:

Post a Comment