Monday, September 8, 2014

Sedekad berlalu teka-teki Munir belum terjawab


Jakarta: Sepuluh tahun berlalu, namun kematian aktivis hak asasi manusia Indonesia Munir Said Thalib masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya.

Seorang juruterbang Garuda Indonesia, Pollycarpus Budihari Priyanto pernah dibicarakan sebagai tertuduh pada Disember 2005, namun pada Oktober 2006 dia didapati tidak bersalah membunuh Munir.


Sebaliknya Pollycarpus cuma dihukum penjara dua tahun kerana menggunakan surat palsu untuk menaiki penerbangan bersama Munir. Isteri Munir, Suciwati, pula terus berkempen bagi membolehkan insiden berkenaan terus diingati sebagai satu daripada tragedi kemanusiaan di negara itu.



Menggunakan slogan Melawan Lupa, kenangan mengenai Munir dapat dilihat di sebuah rumah yang didedikasi untuk tokoh berkenaan di Sidomulyo, Kota Batu di Jawa Timur.


Rumah hijau sederhana itu menyimpan pelbagai barang dikaitkan dengan Munir.


Kata Suciwati, melalui Omah Munir (nama rumah berkenaan), orang ramai perlu terus diberi maklumat mengenai perjuangan hak asasi manusia di Indonesia. “Dengan adanya Omah Munir ini, kita boleh melawan lupa bahawa ada banyak kes belum diselesaikan,” katanya, Munir lahir di Malang, Jawa Timur pada 8 Disember 1965 dan meninggal dunia selepas diracun dengan arsenik ketika dia dalam penerbangan ke Amsterdam, Belanda pada 7 September 2004.

Munir berusia 38 tahun ketika itu.


Ketika hidup, Munir adalah Pengarah Eksekutif Lembaga Pemantau Hak Asasi Manusia Indonesia dan dikenali sebagai tokoh memperjuangkan nasib orang hilang yang diculik ketika itu.

Tanggapan umum ialah, penculikan peguam itu didalangi pihak berkuasa Indonesia, terutama skuad elit dikenali sebagai Tim Mawar dari Komando Pasukan Khusus (Kopassus).


Bekas calon presiden Indonesia, Prabowo Subianto adalah seorang daripada pegawai tertinggi Tim Mawar. Munir adalah segelintir tokoh yang berani serta lantang mengkritik dasar kerajaan Suharto.


Sejak 2005, aktivis mengenang tarikh 7 September sebagai Hari Pembela Hak Asasi Manusia Indonesia.


Kata Suciwati Omar Munir boleh menjadi tempat lahir pelbagai gagasan baru bagi memperjuangkan isu hak asasi manusia. Di situ juga anak kedua mereka, Diva Suukyi Larasati, lahir pada Julai 2002. Semalam Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry mengeluarkan kenyataan mengenai kematian Munir. “Sehingga hari ini keadilan belum ditegakkan kerana individu yang bertanggungjawab membunuhnya masih bebas.


“AS sentiasa menyokong sebarang usaha membawa pembunuh Munir ke pengadilan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

No comments:

Post a Comment