Wellington: Rangkaian perkhidmatan Internet New Zealand semalam lumpuh selepas warga negara itu berlumba-lumba untuk melihat gambar bogel selebriti melalui pautan yang tersebar tanpa mengetahui ia adalah palsu.
Percaya mereka berpeluang berkongsi melihat gambar lucah selebriti yang dicuri penggodam sebelum ini, tanpa disedari memuat turun perisian hasad (malware) yang menyerang serta melumpuhkan Internet.
Kejadian itu menyebabkan syarikat telekomunikasi gergasi New Zealand mengambil masa hingga semalaman untuk pulih.
Mereka menganggap kejadian itu itu sebagai “serangan siber dinamik dan menjejaskan sehingga 600,000 pengguna.
Minggu lalu orang ramai gempar apabila berita penggodam berjaya mencuri imej intim ramai selebriti tersebar selepas mereka menceroboh akaun peribadi tokoh terkenal itu.
Antara selebriti didakwa menjadi mangsa penggodam itu ialah Jennifer Lawrence, Avril Lavigne dan Rihanna.
Syarikat telekomunikasi Spark menulis di Twitter untuk menerangkan apa yang berlaku di New Zealand: “Jika pengguna Internet menekan pautan diberi, secara tidak disedari anda memuat turun malware dan meningkatkan aliran trafik melampau.” Pakar keselamatan komputer Trend Micro mengeluarkan amaran sejurus sebelum serangan bermula dan menegah pengguna untuk tidak membuka sebarang pautan tertera berkaitan gambar sulit selebriti.
“Atas alasan kukuh, menekan pautan gambar selebriti bogel atau membuka e-mel akan memburukkan keadaan. “Melalui pemerhatian kami, skim palsu ini disasarkan kepada pengguna yang mahu melihat gambar hasil penggodaman berkenaan.
“Ancaman pertama yang kami temui bermula di Twitter mengandungi nama Jennifer Lawrance,” katanya.
Trend Micro berkata pengguna pada awalnya ditawarkan klip video bogel artis dan mereka diminta menekan pautan diberi.
Setakat ini pihak berkuasa New Zealand belum mengetahui siapa dalang di sebalik serangan terbabit yang dilancarkan dari luar New Zealand. - AFP
Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08
No comments:
Post a Comment