Sabtu, 6 SEPTEMBER 2014 @ 11:04
SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu jarak dekat di luar pesisir pantai timurnya, menyebabkan pihak tentera di selatan terpaksa berada dalam keadaan berjaga-jaga menjelang cuti umum sambutan hari penuaian Isnin ini.
Panglima Tentera Korea Selatan berkata, peluru berpandu itu yang dilancarkan dari lokasi berdekatan Pelabuhan Wonson awal hari ini, meluru sejauh 210 kilometer sebelum terjatuh ke dalam Laut Jepun.
Ia dipercayai peluru berpandu taktikal baharu yang sedang diuji oleh Korea Utara selama beberapa minggu.
"Berdasarkan jarak dan arah tujunya, peluru berpandu yang ditembak hari ini adalah sama dengan yang ditembak pada 14 Ogos dan 1 September lalu.
"Tindakan Korea Utara itu bertujuan mengeluarkan peluru berpandu baharu dengan jarak lebih jauh berbanding peluru berpandu KN-02 sekarang yang mempunyai keupayaan untuk sampai sehingga 170 kilometer jauh," kata seorang pegawai tentera seperti dilaporkan agensi berita Yonhap.
Korea Selatan sedang memerhati tindakan Korea Utara itu menjelang cuti umum Chuseok yang disambut mulai Isnin hingga Rabu.
Menurut Yonhap, Korea Utara melepaskan sejumlah 111 peluru berpandu, semuanya jarak dekat, dalam 19 pelancaran tahun ini sahaja. - AFP
No comments:
Post a Comment