Thursday, October 30, 2014

Kes Liwat II: Kami Optimis, Positif - Mohd Ihsan Anwar


Diterbitkan: Khamis, 30 Oktober 2014 1:11 PM
Mohd Ihsan pulang dari Amerika untuk mengikuti prosiding kes liwat bapanya, Anwar.

PUTRAJAYA: Anak lelaki Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Ihsan berkata, beliau sekeluarga bersikap optimis selepas prosiding rayuan terakhir kes liwat ketua pembangkang kini masuk hari ketiga.



Berusia 27, Mohd Ihsan berkata, selagi mahkamah belum memutuskan  sama ada bapanya dibebas atau dipenjarakan, perjuangan menuntut keadilan perlu diteruskan.

"Kita optimistik dan perjuangan harus diteruskan.

"Saya rasa kita harus positif," katanya kepada mStar Onlineselepas berakhirnya prosiding hari ketiga rayuan terakhir kes liwat Anwar, Rabu.

Mohd Ihsan yang pulang dari Amerika Syarikat (AS) bersama isterinya dan adik perempuannya, Nurul Hana, 21, berkata, mereka juga perlu positif apabila pihak pendakwaan kini dilihat cuba merendah-rendahkan hujah dan bukti yang dikemukakan.

Difahamkan mereka akan pulang semula ke AS pada malam Khamis.

"Sekarang ini bukti-bukti yang kita kemukakan mereka cuba nak merendahkannya.

"Semua fakta kita kena ulang dan rujuk balik," katanya.

Sementara itu, anak sulung Anwar, Nurul Izzah mengakui timbul rasa bimbang apabila memikirkan tentang nasib Anwar.

"Kami sekeluarga memang takut bila memikirkan tentang pemenjaraan.

"Yang penting kita berdoa dan bermunajat, mereka rancang rancangan jahat tapi kita percaya perancangan Allah adalah perancangan yang terbaik," katanya.

Ahli Parlimen itu berkata demikian ketika berucap di hadapan penyokong bapanya petang Khamis.

Katanya, kegelisahan keluarganya berkurangan dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong demi menuntut keadilan.

"Walaupun kami gundah gulana dan risau tapi kehadiran anda semua memberikan kami semangat untuk terus berjuang," katanya.

Prosiding rayuan terakhir kes liwat Anwar diteruskan Khamis dengan peguam keempat yang mengemukakan hujah, Ramkarpal Singh menyambung hujahnya pada sesi pagi.

Pendengaran yang masuk hari ketiga ini juga akan menyaksikan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pendakwaan akan menjawab di sebelah petang.

No comments:

Post a Comment