Wednesday, October 15, 2014

Kembara ke Makkah

KINI, kereta api digunakan untuk mengangkat jemaah. 
AFP
Makkah
Rukun Islam kelima, menunaikan ibadah haji sememangnya peluang dikejar umat Islam di seluruh dunia.
Bagi mereka yang pernah berpeluang menjadi tetamu Allah ke tanah suci sudah pasti tidak teragak-agak untuk mengulangi pengalaman itu jika kesihatan dan keadaan kewangan mengizinkan.
Kurang seabad lalu, untuk sampai ke Makkah bukanlah calang-calang perjalanan, malah sering dipenuhi bahaya dalam pelbagai bentuk menyebabkan ramai yang melangkah memulakan perjalanan memenuhi tuntutan agama itu tidak mengetahui sama ada mampu pulang dalam keadaan selamat.
Kepanasan melampau cuaca gurun dan pelbagai penyakit termasuk yang mengancam nyawa sememangnya menguji keimanan dan kesabaran jemaah.
Perubahan besar yang berlaku dalam tempoh sekurun lalu boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama berlaku sebelum Arab Saudi menjadi semakin moden yang melihat jemaah datang dengan berjalan kaki atau menaiki pedati.
Kereta menjadi penanda aras fasa kedua dan ketika itu orang ramai menggunakannya untuk melintasi laluan-laluan gurun yang ada kalanya berbahaya. Seterusnya, fasa ketiga dan terakhir merangkumi zaman ini apabila jemaah menggunakan bukan saja kapal terbang malah juga kereta api berkelajuan tinggi untuk sampai ke tempat suci.
Memang jauh bezanya antara menunaikan ibadah haji pada kurun ke-20 dan ke-21 dari segi keselesaan kerana sudah pasti jemaah zaman ini mampu menerima manfaat sepenuhnya teknologi serta kemudahan moden disediakan khas untuk mereka.
Namun tidak kurang juga masih ada yang tidak berkemampuan untuk menikmati perjalanan menggunakan kaedah moden. Golongan ini masih berjalan ke Makkah, sama seperti jemaah ratusan tahun lalu dan sering datang dari negara lebih jauh seperti India, Pakistan, Mesir serta Maghribi yang sanggup meredah pelbagai bahaya - haiwan liar, perompak dan penyakit - semata-mata mahu bersujud di Baitullah.
Perjalanan mereka ini sering disambut penduduk kampung di sepanjang laluan ke Makkah yang mendermakan makanan atau wang kepada mereka, malah tidak kurang juga yang menyediakan tempat tidur untuk musafir terbabit berehat mengumpulkan tenaga sebelum meneruskan perjalanan.
Sebaik tiba di Makkah dan selesai melakukan ibadah haji, ada dalam kalangan jemaah yang tinggal beberapa bulan untuk bekerja dan mengumpulkan wang bagi membolehkan mereka pulang.
Satu ketika dulu, jemaah menaiki unta merentasi gurun. Kaum lelaki memimpin haiwan manakala wanita duduk di atas 'howdah' (tempat duduk di atas unta) yang lebih selesa.
Bekalan dibawa untuk perjalanan itu hanya lemak haiwan, kurma dan tepung serta air. Lazimnya jemaah bergerak dalam satu kumpulan membabitkan sehingga 10 unta sebagai perlindungan daripada perompak.
Perjalanan mengambil lebih sebulan - 25 hari dihabiskan untuk melintasi laluan antara Riyadh dan Jeddah saja. Waktu perjalanan sudah pasti lebih lama bagi jemaah yang datang dari wilayah jauh di utara Arab Saudi atau negara Teluk lain.
Kereta-kereta pada awalnya bukan seperti kenderaan yang kita kenali pada zaman ini sebaliknya keutamaan rekaannya adalah untuk membawa barangan. Lori-lori inilah yang dinaiki jemaah ketika itu dan walaupun sudah pasti kurang selesa berbanding kenderaan moden, ia tetap mampu memendekkan tempoh perjalanan ke Makkah kepada hanya beberapa hari.
Sebuah lori mampu memuatkan 30 orang dan bayaran tiket dikenakan bergantung kepada tempat duduk. Sudah pasti tidak wujud jalan raya seelok pada zaman ini bererti perjalanan masih dipenuhi pelbagai rintangan.
Namun semua itu kini sekadar sebahagian dari era yang sudah luput. Kini tidak lagi sukar untuk menunaikan haji. Lebuh raya besar dan selesa memudahkan perjalanan menaiki apa saja kenderaan dipilih jemaah yang dilengkapi pendingin udara tidak kiralah kereta, bas atau kereta api ke Makkah dan tempat suci lain.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1424#sthash.zCXdeJXS.dpuf

No comments:

Post a Comment