Wednesday, October 15, 2014

Pakar Belanda kumpul barangan mangsa MH17


HRABOVE, Ukraine 14 Okt. - Empat orang pakar penyiasat dari Belanda dan pasukan kecemasan tempatan, semalam mengumpul barangan peribadi mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) M17 di timur negara ini, meskipun pertempuran antara kumpulan pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine masih berterusan di lokasi berdekatan nahas.
Menurut ketua misi berkenaan, Pieter-Jaap Aalbersberg, Perkhidmatan Kecemasan Negeri berjaya mengumpulkan banyak barangan peribadi di lokasi kemalangan.
"Kami menjumpai barangan kemas, jam tangan, kad kredit, lesen memandu, pasport, iPad dan gambar-gambar mangsa nahas," katanya.
Barangan tersebut kemudian dikumpulkan dalam sebuah trak kargo oleh pasukan daripada Kementerian Kecemasan Ukraine untuk dibawa keluar dari lokasi tersebut untuk dihantar kepada keluarga mangsa.
Anggota pemisah pro-Rusia turut berada di sekitar lokasi tersebut ketika kakitangan Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama Eropah (OSCE) memantau proses pencarian itu.
Aalbersberg berkata, pasukan penyiasat Belanda mungkin tidak boleh memasuki kawasan itu semula sehingga akhir April ini di­sebabkan cuaca sejuk.
"Kami mahu kembali ke lokasi tersebut sebelum musim sejuk yang bermula pada Disember ini, atau selepas musim sejuk berakhur, iaitu pada bulan April," katanya.
Pakar penyiasat Belanda turut bertindak sebagai penasihat kepada pasukan Kementerian Kecemasan ketika menjalankan operasi di lokasi pesawat Boeing 777 itu ditembak yang mengakibatkan 298 penumpang dan anak kapal terkorban pada 17 Julai lalu.
Dalam pada itu, tembakan meriam dan senjata kedengaran serta kepulan asap hitam dapat dilihat dalam jarak kurang lima kilometer dari lokasi pencarian, walaupun genjatan senjata antara tentera Ukraine dan kumpulan pembe­rontak pro-Rusia telah dipersetujui pada 5 September lalu. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141015/lu_04/Pakar-Belanda-kumpul-barangan-mangsa-MH17#ixzz3GACZzYqZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment