Gambar bertarikh 13 Mei tahun lalu, menunjukkan Ghulam Azam (tengah) diiringi pasukan keselamatan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa Bangladesh di Dhaka. – AFP
DHAKA 24 Okt. – Pemimpin parti Islam Bangladesh, Jamaat-e-Islami, Ghulam Azam yang dikenakan hukuman penjara selama 90 tahun akibat kesalahan jenayah ketika perang menuntut kemerdekaan pada 1971, meninggal dunia, tengah malam tadi.
Seorang doktor, Abdul Mazid Bhuiyan berkata, Ghulam, 92, meninggal dunia akibat serangan jantung di sebuah hospital di sini.
Penyokong-penyokong Ghulam merusuh apabila beliau bersama pemimpin lain dikenakan hukuman penjara tersebut oleh sebuah tribunal jenayah perang, keputusan yang disifatkan pengkritik sebagai bermotifkan politik.
Rusuhan oleh pengikutnya ekoran kematian Ghulam tidak dijangka berlaku, namun tahap keselamatan telah ditingkatkan di sekitar hospital berkenaan.
Ghulam dikenakan hukuman penjara selama 90 tahun pada Julai tahun lepas atas dakwaan jenayah terhadap kemanusiaan ketika Bangladesh menuntut kemerdekaan daripada Pakistan pada 1971.
Pengkritik berkata, Perdana Menteri, Sheikh Hasina menggunakan tribunal tersebut untuk menyasarkan Parti Jamaat-e-Islami dan melemahkan parti pembangkang.
Kumpulan hak asasi manusia berkata, prosedur yang digunakan oleh tribunal tersebut tidak memenuhi standard antarabangsa.
Ghulam telah memfailkan rayuan berhubung hukuman tersebut dan Mahkamah Tinggi dijangka membicarakan kes itu pada 2 Disember ini. – Reuters
No comments:
Post a Comment