Sydney: Pakar bedah di Australia berjaya melakukan pembedahan pemindahan jantung pertama di dunia membabitkan organ itu yang berhenti berdegup, lapor media semalam.
Sebelum ini, doktor hanya menggunakan jantung yang masih berdegup daripada penderma yang diisytiharkan mati otak. Organ berkenaan lazimnya disimpan dalam ais sebelum dibawa kepada pesakit yang akan menerimanya.
Bagaimanapun, Institut Penyelidikan Jantung Victor Chang dan Hospital St Vincent’s mencipta teknik membolehkan jantung sudah terhenti 20 minit dihidupkan semula sebelum dipindahkan kepada pesakit.
Pakar bedah, Kumud Dhital yang juga profesor di Universiti New South Wales berkata, setakat ini, tiga pesakit menerima jantung baru dengan cara itu. Dua dilaporkan sembuh manakala pesakit terbaru masih memerlukan rawatan intensif.
“Kami baru menemui kaedah membolehkan jantung sudah terhenti dihidupkan semula dan dipindahkan kepada orang yang memerlukan,” katanya.
Menurut Dhital, teknik itu memerlukan jantung penderma dipindahkan ke mesin mudah alih dikenali sebagai “heart in a box” yang mengandungi cecair pengawet, dihidupkan semula dan diselaraskan suhu supaya kekal panas.
Katanya, ketiga-tiga pesakit terbabit menerima jantung dari hospital berbeza dan tempoh membawa organ itu antara lima hingga lapan jam.-AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:02 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3952#sthash.Z7FT3Lem.dpuf
No comments:
Post a Comment