Friday, October 24, 2014

Ayuh berhijrah tinggalkan kezaliman tajaan BN


MOHAMAD NOOR MOHAMAD | .
BADAN Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan Selamat menyambut ketibaan 1hb Muharram 1436H, dengan harapan semua warga Wilayah Persekutuan berada dalam keadaan diredhai oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah bukannya hanya sekadar fakta di dalam lipatan sejarah,  tetapi memberikan signifikan yang sangat besar kepada suatu perjuangan untuk membebaskan manusia daripada pengabdian sesama makhluk kepada pengabdian kepada Allah SWT yang menciptakan sekalian alam ini.

Penghijrahan adalah suatu yang penting untuk mengubah kehidupan manusia dalam keadaan dan suasana yang biasa inikan pula dalam keadaan yang tertindas dan terdesak.

Sejak Malaysia diperintah oleh Umno-BN, kehidupan rakyat semakin tidak menjadi keutamaan pemerintah. Bukan sahaja sedikit demi sedikit bahkan kezaliman dan penindasan dilakukan dalam skala yang lebih besar dan lebih 'terancang'.

Yang terkini,  kenaikan harga minyak adalah satu rompakan dalam skala yang besar terhadap pemilikan rakyat dengan menggunakan istilah yang memukaukan 'rasionalisasi subsidi'. Ia datang dalam bentuk pakej rompakan yang menyelinap masuk setiap ruang liang roma kehidupan rakyat bermula daripada harga secawan teh sehinggalah sebesar-besar barangan. Ia adalah sebahagian kecil daripada timbunan permasalah yang melanda rakyat Malaysia sekarang ini.

Di Wilayah Persekutuan sahaja, senarai kezaliman menjadi semakin panjang termasuklah yang terbaru kezaliman ke atas penduduk kampung Chubadak (Sudah lupa isu Kg Berembang?). Itu masih lagi belum menyentuh berkenaan kemiskinan kota yang menghimpit hampir semua warga kota.

Isu-isu baru seumpama IWTAD dicipta bagi melekakan warga kota daripada penderitaan yang dialami yang mengakibatkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Dan isu yang paling terkini ialah isu bagaimana isu yang tidak pernah terlintas di benak pemikiran warga kota iaitu isu runtuhnya dinding flat Jalan Loke Yew yang memberikan isyarat kepada kebanyakan penghuni kediaman seumpamanya betapa 'istana' mereka tidak lagi berada dalam kondisi yang selamat strukturnya. DBKL perlu segera prihatin mengambil tindakan yang sewajarnya demi kesejahteraan warga kota.

Kezaliman seumpama ini tidak harus dibiarkan, 'Penghijrahan' minda dan kertas undi mesti dilakukan supaya kita tidak terus berada di dalam ' kubang kekotoran' yang lama.

Pensyair Arab pernah menukilkan "Panah yang berada dibusur tidak ada nilainya sehinggalah ia berhijrah ke sasarannya". Begitu juga "Air yang bertakung yang tidak  mengalir (berhijrah) pasti akan membiakkan penyakit dan kemudaratan".

PAS Wilayah Persekutuan amatlah berbesar hati sekiranya anda semua turut berhijrah bersama-sama kami untuk memerdekakan minda kita daripada terus dibelenggu oleh era taqlid buta kezaliman yang menjerumuskan kita ke lembah kegelapan. – HARAKAHDAILY 24/10/2014

Mohamad Noor Mohamad ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment