Menurut laporan okezone.new, Jabatan Syariat Islam dan Majlis Musyawarah Ulama (MPU) di kota tersebut sedang menyusun draf bagi melaksanakan syarat baharu tersebut yang hanya akan dikenakan kepada pelajar beragama Islam.
Bagaimanapun, usul itu menerima bantahan daripada Lembaga Bantuan Hukum (LBH) Anak Aceh yang menyifatkan peraturan terbabit boleh memberi kesan negatif dan tekanan kepada pelajar yang baru memasuki alam persekolahan peringkat menengah.
Pengurus persatuan itu, Rudy Bastian berkata, konsep pendidikan Islam mengajar cara membina akhlak yang baik sebagai subjek penting kepada pelajar dan syarat wajib membaca al-Quran tidak boleh dijadikan pengukur bagi golongan terbabit meneruskan pengajian.
Jelasnya, pihak berwajib perlu memberi fokus kepada pelajar yang bermasalah dari segi akhlak dan tidak tahu membaca al-Quran dengan memberi pendidikan yang sepatutnya kepada mereka.
“Negara, pihak berkuasa, keluarga dan ibu bapa sepatutnya wajib memberi ruang yang luas kepada anak-anak mendapat pendidikan dengan baik.
“Apa akan jadi jika golongan kurang bernasib baik itu tidak mendapat pendidikan apabila dewasa hanya kerana kita mengekang mereka meneruskan pengajian akibat tidak tahu membaca al-Quran?,” soalnya.