Saturday, October 25, 2014

Kampung protes pelajar

Hong Kong: Penunjuk perasaan prodemokrasi Hong Kong kini menyiapkan perkampungan kecil lengkap kemudahan ruang menukar pakaian, khemah untuk disewa, ruang belajar, khemah bantuan kecemasan dan giliran rondaan keselamatan sebagai persediaan meneruskan demonstrasi untuk jangka panjang.
Struktur yang sebelum ini dibina semata-mata untuk menghalang tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis yang diperbuat daripada payung dan plastik pembungkus kini berubah menjadi 'kampus' kecil dengan tangga, mesin air, kemduahan WiFi dan generator yang membolehkan penggunaan telefon bimbit, lampu meja dan amplifier mengecas peranti masing-masing.
Artis, George Wong berkata, mereka juga sentiasa bersedia untuk bertindak pantas sebaik hujan turun.
"Ini boleh dikatakan binaan segera dan menggabungkan kreativiti masing-masing.
"Apabila hujan, puluhan orang membuat penutup yang mampu melindungi ruang belajar dalam tempoh sesingkat 15 minit," katanya.
Penunjuk perasaan juga menugaskan sebahagian mereka bertindak sebagai anggota pasukan keselamatan, perubatan, kitar semula dan hiasan dan bekerja dalam tiga syif iaitu pagi, petang dan malam.
Jurulatih papan luncur salji, Alvin L misalnya, ditugaskan dalam pasukan keselamatan dan diberikan wisel serta walkie-talkie untuk memudahkan kerjanya.
"Beberapa pasukan diwujudkan dan kami berkongsi maklumat berkaitan, seperti jumlah polis yang dihantar ke sesuatu kawasan," katanya.
Sementara itu, pasukan perubatan yang terdiri daripada lebih 200 orang bertugas di empat stesen utama. Gerai-gerai membekalkan tisu tandas, air dan kopi segera secara percuma disediakan di pelbagai lokasi dan dijaga 40 sukarelawan.
Anggota Parti Demokratik, Beatrice Chiu berkata, khemah sewa juga disediakan dengan syarat penyewanya mendaftarkan nombor kad pengenalan dan menjaga kebersihan.
Khemah besar pula disediakan bagi membolehkan orang ramai mempersiapkan diri sebelum ke pejabat pada waktu pagi.
Peserta turut mengikat tali antara tiang lampu untuk menyidai baju dan tuala. Tidak ketinggalan, papan notis yang mengiklankan pelbagai kelas secara percuma, dari bahasa Korea hinggalah kejuruteraan.
Ada juga pekerja pejabat menghantar bubur dan teh ke khemah penunjuk perasaan.
Guru, Karen Tsang berkata, dia menggunakan tandas di bangunan berhampiran dan ada rakannya yang menggunakan kemudahan di restoran makanan segera atau gimnasium berhampiran.
"Selalunya saya pulang selepas bekerja dan kembali ke sini pada waktu malam," katanya.
Sementara itu, Alvin menegaskan kem itu dibina atas hasil titik peluh dan wang peserta protes itu.
"Kami tidak menerima wang daripada pihak luar. Semua orang membawa barangan yang boleh dikongsi bersama.
"Malah, kakitangan syarikat penerbangan juga datang membawa losyen pencuci tangan dan tisu basah," katanya.
Peserta demonstrasi juga mementingkan kebersihan dan alam sekitar.
"Kami semua saling membantu. Semua botol plastik dikumpulkan dan dihantar untuk kitar semula. Jika air longkang melimpah kami semua berganding bahu membersihkannya," kata Wong.-Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Oktober 2014 @ 5:00 AM


SEORANG pelajar prodemokrasi sempat membaca di zon belajar yang diwujudkan di sekatan yang dibina di sebuah laluan utama di kawasan Admiralty, Hong Kong.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/3906#sthash.B15Fho0G.dpuf

No comments:

Post a Comment