JUMAAT, 24 OKTOBER 2014 @ 3:03 PM
BEIJING: China hari ini melancarkan misi angkasa lepas pertama ke bulan, langkah terbaharu Beijing dalam programnya untuk menghantar rakyat China ke bulan satu hari nanti.
Kenyataan Pusat Pentadbiran Sains, Teknologi dan Industri bagi Pertahanan Nasional (SASTIND) menyatakan kapal angkasa tanpa nama dan tanpa juruterbang itu akan terbang ke bulan, berpusing di sekelilingnya dan balik ke Bumi sebelum memasuki semula ke atmosfera dan mendarat.
"Ujian peringkat pertama perjalanan balik dalam misi ke bulan China ini sudah dilakukan dengan jayanya," kata kenyataan itu selepas pelancaran dari Pangkalan Angkasa Lepas Xichang di Wilayah Sichuan.
Kapal angkasa itu akan berada 413,000 kilometer dari bumi pada jarak paling jauh dalam misi lapan hari itu.
Agensi berita Xinhua berkata, kapal angkasa berkenaan akan memasuki semula atmosfera pada kelajuan 11.2 kilometer sesaat sebelum memperlahankan kelajuannya - satu proses yang menjana suhu tinggi - dan mendarat di kawasan Mongolia di utara China.
Sebelum ini, SASTIND menyatakan misi itu bertujuan untuk digunakan pada teknologi projek Chang'e-5, yang akan mengambil bahan uji kaji dari permukaan bulan untuk kajian lanjut.
Chang'e-5 dijadual dilancarkan sekitar tahun 2017 nanti. - AFP
No comments:
Post a Comment